PENYAYANG dan penyabar adalah sifat peribadi Allahyarham Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah yang patut dicontohi.

Itu kisah dikongsikan Tok Puan Zainon Datuk Hussein, 83, yang menyingkap sifat peribadi dan kenangan bersama kakak iparnya itu.

"Arwah ini seorang yang penyabar, penyayang dan yang baik sekali. Sebagai kakak ipar, saya sangat hormati dia. Sifatnya memang patut dicontohi oleh wanita-wanita sekarang.

"Beliau juga pemalu orangnya, lagi pun beliau ikhlas, suka merendahkan diri, tidak sombong dan tidak bermegah-megahan. Itulah yang boleh saya katakan," ujarnya kepada Astro AWANI.

Gambar kenangan bersama Tun Rahah dikongsikan oleh Tok Puan Zainon.


Zainon yang merupakan adik kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, akui Tun Rahah amat menghormati suaminya dan tidak seperti wanita yang lain.

"Beliau amat hormati arwah Tun Razak. Beliau juga tak suka pergi beli-belah macam wanita sekarang, suka duduk di rumah.

"Orangnya terlampau baik, suka memasak dan tak suka bercakap pasal hal orang lain. Beliau juga kuat agama orangnya.

"Saya ini ramai adik beradik dan Arwah baik dengan adik beradik saya semua. Jadi bila-bila masa pun saya boleh pergi ke rumah dia," kongsi Zainon.

Foto keluarga besar Allahyarham Tun Abdul Razak yang dikongsikan oleh Tok Puan Zainon.

Malah, Zainon turut memuji kecekalan Tun Rahah menjaga dan mendidik lima anak lelaki saat bergelar ibu tunggal pada usia 43 tahun.

"Iman beliau kuat. Kalau kita beriman, kita serah kepada Tuhan, mudah-mudahan...sabar itu satu daripada iman, tak ada keluhan dan merendahkan diri.

"Itu satu daripada iman. Beliau juga bersyukur mendapat anak-anak lima orang itu. Itulah kekuatan kepada seorang ibu tunggal," kata Zainon.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court pada Jumaat petang.

Allahyarham berkahwin dengan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak pada 4 Sept 1952, dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Mohamed Nazir, Ahmad Johari, Mohamed Nizam dan Mohamed Nazim. 

Jenazah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan di Masjid Negara pada Sabtu.