MALAYSIA
Tun Ramli Ngah Talib imbau zaman penjajahan, seru anak muda hargai nikmat hidup dan keamanan

Tun Ramli Ngah Talib ketika ditemu bual eksklusif bersama Bernama di Seri Mutiara baru-baru ini. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Membesar dalam suasana penuh kesederhanaan pada era pra-kemerdekaan, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib tidak pernah melupakan detik-detik awal kehidupannya yang membentuk jati diri serta menyalakan semangat cintakan negara.
Dilahirkan di Pasir Salak, Perak, Tun Ramli, 84 tahun, menyorot kembali zaman kecilnya ketika penjajahan, berkata pengalaman hidup sebelum kemerdekaan menjadi landasan penting dalam membina wawasan dan kepimpinan.
Meskipun zaman kanak-kanaknya penuh cabaran selepas pendudukan Jepun, beliau berkata, kehidupan di kampungnya sarat dengan nilai dan adat resam Melayu serta peranan orang tuanya dalam membentuk disiplin dan kesederhanaan sejak kecil.
"Saya membesar di Pasir Salak, terkenal dengan peristiwa pembunuhan Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch, pada 2 Nov 1875 oleh pejuang Melayu seperti Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor - titik tolak penting perjuangan menentang penjajahan."Saya juga dibesarkan dalam suasana kampung yang kaya nilai adat. Opah pernah menegur saya agar tidak membazirkan sebutir nasi kerana katanya 'nasi akan menangis', ia ajaran mendalam tentang menghargai rezeki dan bersyukur," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Seri Mutiara di sini, baru-baru ini.
Tun Ramli turut mengimbau keadaan getir ketika pemerintahan Jepun, apabila makanan amat sukar diperoleh hingga rakyat terpaksa bergantung kepada ubi kayu dan campuran makanan lain untuk mengalas perut.
"Ketika berumur lima tahun, saya makan nasi dengan pisang, campur ubi kayu dan sedikit sayur. Kadang-kadang tiada sayur, kulit buah rambai dihancurkan untuk dijadikan sayur, selain direbus bersama ubi kayu kerana kekurangan makanan," katanya.
Sebagai individu yang melalui tiga era - penjajahan, kemerdekaan dan kemajuan, Tun Ramli menyeru generasi muda agar tidak melupakan sejarah dan sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan.
Beliau juga menasihati anak muda agar tidak leka dengan kemajuan material semata-mata, sebaliknya terus memupuk semangat patriotik, perpaduan dan bertekad mempertahankan keamanan negara.
"Apa yang telah dilalui, sejarah harus menjadi teladan untuk melangkah ke kehidupan terbaik. Jangan beri laluan kepada kepentingan mana-mana pihak untuk gadaikan keamanan kerana keamanan membawa kesejahteraan dalam pendidikan, makanan dan kehidupan seharian.
"Jadi, hargailah nikmat yang dikecapi sekarang... keamanan negara dan keadilan sosial yang tiada jurang antara kaum. Jika tiada keadilan sosial, tidak akan ada keselesaan hidup," tambahnya.
Mengenai sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang, Tun Ramli menyifatkannya sebagai lambang perpaduan antara kaum, khususnya antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, serta meningkatkan kesedaran bahawa semua berada di bawah satu payung besar, negara Malaysia.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan tahun ini, menyifatkannya sebagai pilihan tepat.
Katanya, Pulau Mutiara terkenal dengan kepelbagaian budaya, sejarah, semangat perpaduan, makanan, warisan budaya dan keterbukaannya.
Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" akan diadakan pada 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, dengan pelbagai pengisian menarik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan acara pada 8.30 malam, yang turut dihadiri Tun Ramli; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada 11 Jun lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami