MALAYSIA
Tunku Azizah sempurnakan pelancaran buku mengenai kewangan Islam di Malaysia

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku 'From Shariah to Statute: Legal and Regulatory Framework of Islamic Finance in Malaysia' di UIAM. - Foto UIAM
KUALA LUMPUR: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku 'From Shariah to Statute: Legal and Regulatory Framework of Islamic Finance in Malaysia' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.
Keberangkatan Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM disambut Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pelancaran buku berkenaan adalah sempena syarahan profesor oleh Pensyarah Jabatan Kewangan, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS) UIAM Prof Datin Dr Nurdianawati Irwani Abdullah bertajuk '1 Rakyat Malaysia, 1 Takaful: Impian Terlalu Jauh untuk Dicapai?'.
Buku berkaitan kewangan Islam itu antara lain memberikan gambaran menyeluruh mengenai cara sektor berkenaan dikawal oleh sistem dwiperundangan Malaysia yang unik selain menerangkan hubungan antara prinsip syariah dan undang-undang berkanun.Selain itu, buku itu juga membincangkan perkembangan kawal selia terkini termasuk pelesenan dan penyeliaan bank Islam digital dan pengendali Takaful digital di samping usaha berterusan Malaysia dalam mempromosikan kelestarian, inovasi dan penyelarasan undang-undang dalam ekosistem kewangan Islam.
Terdahulu, Nurdianawati Irwani dalam syarahannya berkata kadar inflasi perubatan negara yang melonjak kepada 12.6 peratus pada 2023 mencatatkan dua kali ganda lebih tinggi daripada purata global dan dijangka memberi tekanan besar kepada perbelanjaan isi rumah sekali gus mengukuhkan keperluan kepada perlindungan kesihatan menyeluruh.
Beliau berkata sehingga kini, kadar penembusan takaful kekal rendah pada sekitar 20 peratus manakala lebih 90 peratus rakyat Malaysia masih tidak mencukupi perlindungan termasuk lebih 85 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih tidak memiliki perlindungan yang sesuai.
Pada masa sama katanya hampir 70 peratus rakyat masih bergantung kepada hospital awam yang terlalu sesak dengan tempoh menunggu rawatan boleh mencecah lebih 24 jam sementara kos rawatan swasta pula semakin membebankan.
Sehubungan itu, Nurdianawati Irwani mencadangkan satu pelan tindakan komprehensif ke arah merealisasikan sasaran '1 Rakyat Malaysia, 1 Takaful' menjelang 2026, yang bukan sekadar satu aspirasi nasional tetapi tanggungjawab bersama semua pihak.
"Menjayakan '1 Rakyat Malaysia, 1 Takaful' memerlukan kerjasama rentas sektor kerajaan, pengendali takaful, majikan, badan zakat dan wakaf serta masyarakat sivil. Ini bukan lagi pilihan, tetapi satu kewajipan sosial untuk memastikan tiada rakyat jatuh miskin kerana sakit.
"Pelan ini menyasarkan kadar penembusan takaful meningkat kepada 40 peratus menjelang 2028. Dengan komitmen dan pelaksanaan menyeluruh, impian untuk melihat setiap rakyat Malaysia mempunyai perlindungan kesihatan asas mampu direalisasikan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami