MALAYSIA
Tunku Ismail zahir penghargaan, Johor catat pencapaian besar sejak 2024

Menurut Tunku Ismail, kejayaan itu membuktikan Johor berada pada landasan kukuh untuk menjadi negeri termaju dan berdaya saing tinggi di rantau ini. - Gambar Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan besar yang dicapai Johor sejak 2024, meliputi aspek ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan, hasil usaha berterusan kerajaan negeri serta sokongan padu rakyat.
Menurut Tunku Ismail, kejayaan itu membuktikan Johor berada pada landasan kukuh untuk menjadi negeri termaju dan berdaya saing tinggi di rantau ini.
“Dalam titah ucapan pembukaan sidang ADUN yang pertama saya sebagai Pemangku Sultan Johor, saya telah menyatakan bahawa keutamaan saya di Negeri Johor adalah untuk mempertingkatkan ekonomi, pendidikan, infrastuktur dan penjagaan kesihatan agar Bangsa Johor dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” titah baginda.
Menerusi kenyataan di laman Facebook HR Crrown Prince of Johor pada Sabtu menyatakan, Johor mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.4 peratus pada 2024, tertinggi di Malaysia dan melebihi purata nasional 5.1 peratus."Nilai pelaburan diluluskan juga merekodkan RM56 bilion pada suku kedua 2025, angka tertinggi dalam negara.
"Selain itu, Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berjaya dimeterai pada Januari 2025, menyasarkan 50 projek dengan 20,000 peluang pekerjaan mahir dalam lima tahun.
"Penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) pula telah menerima 73 potensi pelaburan bernilai RM27.33 bilion setakat Ogos 2025," titah baginda.
Titah baginda, sehingga suku kedua 2025, sebanyak 42 projek pusat data bernilai RM164.45 bilion telah diluluskan, menjana 6,000 pekerjaan.
"Johor juga mencatat hasil negeri tertinggi dalam sejarah pada 2024 dengan kutipan RM2.1 bilion, melepasi unjuran awal RM1.9 bilion. Selain itu, 4,378 ketua isi rumah miskin tegar fasa pertama berjaya disifarkan pada 31 Julai 2024.
“Dalam bidang pendidikan, Sekolah Rintis Bangsa Johor dilancarkan dengan peruntukan RM27 juta bagi penambahbaikan infrastruktur, operasi dan latihan guru. Transformasi Kolej Pengajian Yayasan Johor (KPYJ) turut dilaksanakan dengan menaik taraf Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan menggunakan peruntukan RM3.8 juta dan dijadualkan siap pada Disember 2025.
“Tiga pelajar sulung penerima Biasiswa Orang Muda Johor berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia.Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang, sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor, turut mencatat kejayaan di pertandingan inovasi Global Link Singapore 2025 di Nanyang Technological University,” titah Tunku Ismail.
Titah baginda, seramai 212 guru pula dihantar ke National Institute of Education (NIE), Singapura secara berperingkat sebagai persediaan pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor di empat sekolah rintis mulai Februari 2026.
Dalam pada itu, projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru kini 99.48 peratus siap, dengan perkhidmatan ETS telah diperluaskan ke Kluang pada Ogos 2025, dan dijangka sampai ke Johor Bahru Disember 2025.
Projek Johor Bahru-Singapore Rapid Transit Link (RTS Link) pula berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.
“Selain itu, Projek Lebuhraya Utara Selatan Fasa 1 Pakej A (Senai Utara–Kulai) telah bermula pada Jun 2024 dan dijangka siap Jun 2027, manakala Pakej B (Kulai–Sedenak) bermula pada Jun 2025 dan dijangka siap Disember 2027.
“Projek naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru Fasa 1 pula bermula November 2024 dan dijangka siap April 2027.Kelulusan projek infrastruktur bekalan air berjumlah RM991 juta dengan kapasiti 260 MLD turut meningkatkan kesediaan Johor menerima pelaburan berkualiti, termasuk pusat data untuk menjayakan agenda Hab Kecerdasan Buatan (AI),” titah Tunku Ismail.
Sementara itu dari sektor kesihatan, Hospital Pasir Gudang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac 2026, di samping peruntukan menaik taraf empat klinik kesihatan kritikal - KK Gelang Patah, KK Majidee, KK Tebrau dan KK Sultan Ismail.
Kerjasama bersama Southern Volunteers (SV) menempatkan 21 sukarelawan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi membantu kelancaran perkhidmatan di wad kecemasan.
Selain itu, sumbangan 985 katil pesakit daripada pelbagai NGO disalurkan kepada hospital kerajaan.
Hospital Pakar KPJ Johor Specialist Hospital (JSH) turut mencipta sejarah dengan kejayaan melaksanakan pembedahan bantuan robotik, memperkukuh daya saing Johor dalam bidang kesihatan berteknologi tinggi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami