Umum mengetahui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes telah menutup akaun rasmi Twitternya pada Jumaat lalu, dan khabar mengatakan yang ahli perniagaan ini mungkin akan memberi fokus kepada laman sosial Instagram dan blog.

Fernandes yang menggunakan nama @tonyfernandes di Twitter mengucapkan selamat tinggal kepada warga Twitter dan menimbulkan pelbagai reaksi dari pengikutnya yang berjumlah 877,000.

Apatah lagi, pemilik pasukan Liga Inggeris Queens Park Rangers yang dianugerahkan 'Pemimpin Industri Penerbangan' pada Aviation Awards 2014 awal tahun ini turut popular di kalangan peminat-peminat bola gemar berinteraksi dengan pengikutnya di Twitter.






Keputusan Fernandes menutup akaun Twitternya mengejutkan ramai pihak kerana beliau merupakan antara yang aktif di laman mikro itu dan dikenali dengan komen-komennya yang adakalanya lucu dan berbau 'sinikal.

Namun menurut sumber yang enggan namanya didedahkan, Fernandes dalam rangka mencari cara baru untuk mendekati penyokong-penyokongnya. Beliau juga sedang memperbaharui blog rasminya yang bakal dipantau oleh pasukan tertentu.

"Medium blog dan Instagram lebih memberi impak visual yang positif," kata sumber berkenaan.

Fernandes yang menggunakan nama @tonyfernandes di Twitter mengucapkan selamat tinggal kepada warga Twitter pada Jumaat.

“Saya akan menutup akaun Twitter hari ini. Seperti yang pernah saya katakan, tunggu sehingga kedudukan QPR naik dan umur saya 50 tahun mungkin saya akan mulakan akaun lain” kata beliau yang merujuk kepada pasukan QPR.


tony fernandes

Tony yang menggunakan nama @tonyfernandes _official dilaman Instagram dilihat sudah mula aktif memuatnaik gambar hariannya.