KUALA LUMPUR: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia telah mencipta satu model kerjasama strategik dalam sektor penerbangan dan pelancongan, dengan peningkatan jumlah penerbangan menerusi pengendali nasional dan pertumbuhan yang tinggi dalam aliran jumlah penumpang.

Pengendali nasional UAE juga telah meningkatkan jumlah penerbangan mereka ke Malaysia bagi mengekalkan momentum kerjasama strategik yang berkembang antara kedua-dua negara.

Memetik kenyataan Pihak Pengurusan Penerbangan Awam Umum (GCAA), pengendali penerbangan nasional UAE - Etihad Airways, Emirates dan Air Arabia kini melakukan 112 penerbangan bulanan atau 28 penerbangan mingguan dari Abu Dhabi, Dubai dan Sharjah masing-masing ke Kuala Lumpur.

Etihad Airways memulakan penerbangan ke Kuala Lumpur pada tahun 2007 dan sejak itu telah membawa 2.7 juta penumpang ke ibu negara Malaysia.

Pada tahun 2019, Etihad Airways mengadakan kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menarik pengunjung dari Eropah dan Timur Tengah ke Malaysia melalui pusat transit mereka di Abu Dhabi.

Sementara itu, Emirates juga mengumumkan bahawa mereka akan meningkatkan penerbangan mingguan mereka ke Malaysia pada 21 penerbangan bermula awal Jun hingga Julai.

Pada masa sama, Air Arabia melihat peningkatan penerbangan mereka ke Malaysia sebagai langkah dalam rancangan mereka untuk mengembangkan pasaran di Asia dan memberikan pelanggan pilihan perjalanan yang memberikan nilai tambah ke destinasi antarabangsa termasuk Kuala Lumpur yang dianggap sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di dunia dengan pelbagai daya tarikan yang menarik.