RANTAU PANJANG: Seorang anak muda dari Kampung Bawah Lembah, Gual Periok di sini menggunakan kreativiti dengan mengubah sebuah motosikal untuk digunakan meredah air bagi membantu mangsa banjir.

Niat murni Mohd Kalmiru Zuhairi Abdullah, 27, itu mendapat perhatian ramai apabila ciptaannya itu tular di laman sosial semasa dia melakukan kerja-kerja memindahkan mangsa banjir sepanjang dua minggu ini.

Dia yang merupakan seorang penanam sayur berkata, idea itu terhasil selepas Rantau Panjang dilanda banjir teruk pada awal tahun ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, sepanjang kerja-kerja menyiapkan motosikal tersebut, dia mendapat bantuan penuh daripada bapa saudara, Mazlan Mohamad, 48.

"Kami mengambil masa selama lima bulan untuk memastikan ia betul-betul berfungsi dengan baik di dalam air.

"Sebanyak RM500 dihabiskan untuk membeli kelengkapan," katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd Kalmiru Zuhairi, walaupun dia dan bapa saudaranya tidak mempunyai sebarang kemahiran dalam bidang mekanik tetapi minat membatasi segalanya.

Ujarnya, motosikal tersebut boleh memuatkan empat orang dewasa dalam satu masa.

Dia memberitahu, sepanjang dua minggu Rantau Panjang dilanda banjir, kerjanya adalah membantu penduduk yang ingin berpindah serta memunggah barang.

"Alhamdulillah, walaupun bantuan ini tidak seberapa sekurang-kurangnya saya dapat berbakti kepada penduduk.

"Tiada bayaran dikenakan, ia ikhlas dari saya untuk semua penduduk," katanya. - Sinar Harian