IPOH: Tanggapan segelintir individu bahawa belajar pondok itu merujuk kepada pusat pengajian bagi orang yang sudah berumur atau warga emas wajar diperbetulkan.

Peranan pondok sebagai antara pusat pengajian utama dalam masyarakat khususnya yang beragama Islam di negara ini sebelum ini sememangnya penting dan perlu diperluas.

Menurut Pengetua Pondok Ngaji Darul Furqan, Mohd Zaini Shafiai, atas kesedaran itu, pondok ngaji yang terletak di Jalan Ampang Jaya 1, di sini, memberi ruang kepada masyarakat memdalami Ilmu berkaitan al-Quran, Thurath, ekonomi dan kepimpinan.

Beliau berkata, pondok yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu diilhamkan oleh bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan beliau sendiri sejak 2018.

Jelasnya, pihaknya kini dalam usaha mengembangkan fungsi sebenar dan pengajian pondok itu di setiap peringkat dan usia dalam masyarakat.

"Sebenarnya kalau ikut sejarah sampai awal merdeka, pondok merupakan institusi pengajian pendidikan agama Islam.

"Cuma sejak akhir-akhir ini pondok disalahtafsirkan, apabila mendengar perkataan pondok sahaja orang terbayang ia untuk orang orang tua.

"Kalau dahulu ia adalah tempat pendidikan 'Thurath' (kitab warisan agamawan Islam berhubung akidah Islam) dan sebagainya.

"Jadi, kita mahu membetulkan semula istilah pondok dan mengetengahkan sistem pendidikan Thurath yang pernah menjadi satu sistem pengajian yang menyelamatkan akidah dan kebanggaan ketika negara masih dalam tempoh penjajahan bangsa asing," katanya.

Mohd Zaini Shafiai


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian penutup program SMART Caliph 2.0 yang disempurnakan Roshidi, yang juga Pengerusi Pondok Ngaji Darul Furqan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut program yang ditawarkan, beliau berkata, dengan adanya pengajian pondok yang menekankan ilmu pendidikan Thurath, masyarakat khususnya beragama Islam tidak tersasar jauh daripada akidah masing-masing.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Andalusia walaupun mereka negara maju dan canggih, namun tidak mengamalkan sistem Thurath sehingga apabila dijajah mereka tidak dapat mempertahankan akidah dan hari ini kita tidak mengenali negara itu sebagai negara Islam.

"Berbeza dengan Baghdad, walaupun dijajah dengan kejam oleh Mongol tetapi sistem pengajian Thurath itu menjadi penyelamat dan agama dapat disebarkan sehingga ke India," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur usaha membangunkan pondok ngaji berkenaan mendapat galakan dan sokongan daripada pelbagai pihak.

"Kita kini sudah mula mengetengahkan dan memulakan sistem yang membolehkan anak-anak sudah mula menghafaz al-Quran di usia kecil sebelum baligh.

"Bagi proses menghafaz al-Quran, kita mengambil mereka yang berusia 7 hingga 12 tahun.

"Ini bermakna mengikut silibus sistem yang dilaksanakan di sini iaitu pada usia 7 tahun mesti sudah menghafal tiga juzuk, 8 tahun (enam juzuk), 9 tahun (12 juzuk) dan seterusnya sehingga usia 11 tahun, jadi pada usia 12 tahun adalah waktu mereka mengulang semula semua hafazan," katanya.

Pusat pengajian itu terbahagi kepada empat peringkat iaitu Talaqqi al-Quran+KAFA (9-12 Tahun), Tahfiz+KAFA (9-12 Tahun), Pengajian Asas al-Quran (8-15 Tahun) dan Tahfiz Intensif (8-15 Tahun).

"Pengajian bermula pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 2.30 petang hingga 5 petang, manakala Tahfiz Intensif pula pada Sabtu sahaja bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

"Di Pondok Ngaji ketika ini mempunyai 30 pelajar dan keseluruhan seramai 23 kakitangan yang juga memainkan peranan sebagai tenaga pengajar," katanya.

Mohd Zaini berkata, pelajar seterusnya akan mengambil peperiksaan untuk Sijil Tahfiz Malaysia di Pondok Darul Furqan di Tambun, di sini.

"Bagi pengajian di Pondok Darul Furqan, pelajar 13 hingga 17 tahun akan tamat dengan SPM dan mereka boleh menyambung di mana-mana universiti awam," katanya.

Katanya lagi, pihaknya sudah membuat perancangan awal bagi membolehkan pelajar dapat terus menyambung pengajian dalam diploma, ijazah, sarjana dan doktor falasafah (Phd) di Pondok Darul Furqan.

"Buat pengetahuan, selain menjalin kerjasama dengan Open University, kita juga menjalin kerjasama dengan Universiti Ar-Raniry di Acheh, Indonesia.

"Jadi, pensyarah daripada negara berkenaan akan hadir ke institusi kita di sini bagi memberi pengajian kepada pelajar," katanya lagi.