KUALA LUMPUR: Ucapan takziah daripada pemimpin-pemimpin luar negara terus mencurah-curah susulan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dengan pelbagai penghormatan dizahirkan bagi mengenang jasa dan sumbangan sepanjang hayat beliau dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta kebajikan masyarakat.
Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari merakamkan rasa duka yang mendalam atas pemergian Allahyarham dan menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, keluarga beliau serta seluruh rakyat Malaysia.
“Khidmat bakti yang panjang dan cemerlang Dr Siti Hasmah dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan masyarakat akan sentiasa dikenang dengan penuh rasa hormat,” kata Zardari menurut Jabatan Maklumat Akhbar (PID) Pakistan.
Sementara itu, Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu turut menzahirkan rasa amat sedih selain memberi penghormatan kepada Dr Siti Hasmah sebagai antara doktor wanita terawal di Malaysia serta menonjolkan sumbangan beliau dalam kesihatan maternal dan pembangunan wanita luar bandar.
Beliau berkata, kepimpinan Allahyarham dalam kesamaan jantina dan kebajikan keluarga mencerminkan komitmen sepanjang hayat beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat serta memperkasa generasi akan datang.
Muizzu menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga bagi pihak kerajaan serta rakyat Maldives.
Sementara itu, Presiden Senat Kemboja, Hun Sen menyifatkan Dr Siti Hasmah sebagai seorang doktor yang dihormati, pejuang kesihatan awam dan perintis yang mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia.
“Dalam saat yang penuh kesedihan ini, bagi pihak Senat Kemboja dan diri saya sendiri, saya ingin menzahirkan rasa simpati yang mendalam serta ucapan takziah kepada anda, keluarga anda, kerajaan dan rakyat Malaysia,” kata Hun Sen yang juga Pemangku Ketua Negara Kemboja menerusi hantaran di Facebook.
Bekas Perdana Menteri Kemboja itu turut mengimbas sokongan Dr Siti Hasmah dalam kesihatan maternal, celik huruf, pencegahan penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental, serta peranan beliau dalam pemodenan perkhidmatan kesihatan Malaysia.
“Beliau dan warisan beliaunya akan terus dikenang untuk generasi mendatang,” katanya.
Jenazah Dr Siti Hasmah selamat disemadikan pada 6.20 petang semalam di Pusara Negara, Presint 20 Putrajaya.
Suami beliau, Dr Mahathir, anak-anak serta ahli keluarga yang lain turut hadir.
Acara pengebumian pembesar negara telah diadakan bagi memberi penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri itu yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi Isnin pada usia 100 tahun.
-- BERNAMA