PETARUNG Brazil, Charles Oliveira dilucutkan kejuaraan lightweight miliknya selepas gagal mencapai berat untuk acara utama menentang Justin Gaethje di UFC 274, esok.

Oliveira mencatat berat 70.2268kg (155.5 lbs) -- melebihi had berat badan yang ditetapkan untuk kelas lightweight iaitu 70kg (155 lbs).

Dia juga gagal menurunkan berat meskipun diberikan tempoh satu jam untuk melakukannya, dan dilaporkan tiba di acara ‘weigh-in’ pada saat akhir iaitu 5 minit sebelum acara tersebut tamat.

Bagaimanapun, menurut UFC, pertarungan 'Oliveira vs Gaethje' akan tetap diteruskan dan gelaran lightweight akan diberikan kepada Gaethje sekiranya dia menang.

Setakat ini juga, UFC masih belum menetapkan denda yang bakal dikenakan terhadap Oliveira.

Oliveira, 32, meraih kejuaraan lightweight pada Mei tahun lalu selepas menewaskan Michael Chandler dari Amerika Syarikat dalam aksi UFC 262.

Pertarungan acara utama yang berlangsung di Houston, Texas itu menyaksikan Oliveira menumpaskan Chandler menerusi TKO (technical knockout) pada minit 0:19 pusingan kedua.

Oliveira seterusnya mempertahankan kejuaraan tersebut untuk kali pertama pada Disember lepas menerusi kemenangan ke atas bekas juara interim lightweight, Dustin Poirier.

Gelaran lightweight UFC itu berpindah milik selepas hampir tiga tahun dipegang oleh legenda MMA, Khabib Nurmagomedov.