Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan merombak program Pentaksiran Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) supaya pelaksanaannya lebih "mesra" dan tidak membebankan pensyarah.

Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, program itu perlu diteliti semula berikutan terdapat komponen di dalamnya yang boleh memberi penerangan kepada pihak majikan mengenai kemampuan pelajar daripada segi 'soft skill'.

"Cuma yang memberi masalah kepada kakitangan adalah daripada segi proses memasukkan markah, proses menilai... kemampuan pensyarah menilai itu berbeza, jadi kita rasakan ini perlu diteliti semula dan mungkin kita akan wujudkan (iCGPA) yang lebih mesra kepada pensyarah."

Beliau ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra media bersama pengurusan kanan UiTM di Dewan Seri Budiman, UiTM di sini pada Jumaat.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebelum ini mengumumkan bahawa pelaksanaan iCGPA tidak lagi diwajibkan di universiti awam (UA) berkuatkuasa 21 Jun lepas dan UA mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan program tersebut atau menamatkannya.

Maszlee dilaporkan berkata berdasarkan maklum balas dan perkongsian pendapat didapati sejak iCGPA dilaksanakan, tumpuan pensyarah telah beralih daripada tugas hakiki iaitu mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pasca siswazah dan berkhidmat kepada masyarakat.

iCGPA adalah satu sistem penggredan bersepadu untuk menilai dan melaporkan prestasi akademik pelajar serta kemahiran profesional diperoleh sepanjang pengajian mereka di universiti.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), Hassan berkata buat masa ini pihaknya belum mendapat maklumat yang jelas berkenaan perkara itu.

“Kalau ada perincian boleh saya lihat daripada perspektif pendidikan. Kita nak pastikan bahawa apa sahaja sistem di Malaysia harus menepati standard dan keperluan negara,” katanya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

-- BERNAMA