Skip to main content

Malaysia

UKM henti guna khidmat koperasi urus pengambilan pelajar, kutipan yuran

41770616647_TBAdamAdli.jpg
Adam Adli berkata, langkah itu diambil sebagai tindakan pembetulan segera bagi memastikan tadbir urus kewangan yang lebih telus dan berakauntabiliti selepas audit mendapati ketakteraturan dalam kutipan yuran. - Bernama

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak lagi menggunakan khidmat koperasi bagi urusan pengambilan pelajar dan kutipan yuran susulan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berhubung ketakteraturan pengurusan hasil yuran pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata proses pengambilan dan kutipan yuran bagi program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dilaksanakan sepenuhnya oleh UKM bermula kohort tujuh, semester satu sesi 2025/2026, manakala program Sarjana Pendidikan (SPEND) bermula kohort 10, semester dua sesi 2025.

Advertisement

Beliau berkata langkah itu diambil sebagai tindakan pembetulan segera bagi memastikan tadbir urus kewangan yang lebih telus dan berakauntabiliti selepas audit mendapati ketakteraturan dalam kutipan yuran.

“Pelarasan semula telah dibuat dengan mengiktiraf hasil berjumlah RM2.27 juta bagi SPEND dan RM30.09 juta bagi DPLI untuk 2024 serta RM27.67 juta bagi kohort terdahulu untuk 2025, manakala semua hasil yuran pelajar DPLI kohort tujuh telah diperakaunkan sepenuhnya.

“Surat tuntutan telah dikeluarkan kepada koperasi terlibat dan setakat ini RM1.83 juta berjaya diperoleh semula, dengan usaha pemulihan baki tertunggak diteruskan melalui saluran perundangan,” katanya ketika menggulung usul LKAN 1/2026 bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, siasatan terhadap perjanjian kerjasama yang tidak sah sedang dijalankan oleh Pusat Integriti dan Ombudsman UKM, dan universiti memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

Berhubung isu baki geran penyelidikan berjumlah RM110.67 juta melibatkan lima universiti penyelidikan, Adam Adli berkata perkara itu bukan berpunca daripada ketirisan, sebaliknya hasil penjimatan dan lebihan dana projek sepanjang tempoh hampir 20 tahun.

Beliau berkata baki tersebut melibatkan 7,129 projek pembangunan dan penyelidikan (R&D) sejak 2006 hingga Jun 2025 dengan purata RM15,524 bagi setiap projek.

Adam Adli turut menjelaskan lebihan berlaku antaranya disebabkan projek selesai dengan penggunaan optimum, penjimatan kos teknologi dan kekangan peraturan kewangan.

-- BERNAMA

Must Watch Video