Skip to main content

Malaysia

UM sambut baik cadangan mansuh AUKU, sokong kerangka baharu pendidikan tinggi

Sumber: BERNAMA
UM turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dan menyumbang pandangan serta kepakaran kepada KPT dan semua pihak berkepentingan dalam proses libat urus bagi membangunkan kerangka perundangan baharu itu. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), serta usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif untuk sektor pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pembaharuan tersebut penting bagi memastikan institusi pendidikan tinggi terus dihormati, diyakini dan berupaya melahirkan generasi yang disegani di peringkat nasional serta global.

Menurut UM, langkah itu selari dengan agenda yang digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 melalui pembentukan One Higher Education Act, yang bertujuan memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi terus relevan dengan perubahan landskap semasa.

Universiti berkenaan berpandangan pembaharuan itu mampu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik, suara mahasiswa, tadbir urus dan akauntabiliti universiti.

Dalam kenyataannya, UM turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dan menyumbang pandangan serta kepakaran kepada KPT dan semua pihak berkepentingan dalam proses libat urus bagi membangunkan kerangka perundangan baharu itu.

Menurut universiti itu, sebarang pembaharuan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada aspek tertentu, sebaliknya mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi serta peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara.

UM menegaskan matlamat utama reformasi itu adalah untuk melahirkan mahasiswa dan masyarakat yang berilmu, matang dalam pemikiran, bertanggungjawab dalam tindakan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

 

Must Watch Video

Advertisement