Sambutan peringkat kebangsaan bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia bermula dengan perarakan 149 kontinjen membabitkan 12,325 peserta terdiri daripada 68 pasukan jabatan kerajaan, 33 badan berkanun, 13 swasta, 10 badan beruniform, empat sekolah, enam institut pengajian tinggi dan enam kontinjen badan bukan kerajaan.
Peserta berarak sambil berselawat sejauh 1.8km bermula di hadapan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra.
Muhyiddin dalam ucapannya menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan umat Islam selain menjauhi kegiatan ekstremis demi mempastikan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri kabinet berkenaan dan perwakilan negara luar.
Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Aman Jaya di Meru.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Ia turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pada majlis itu, baginda menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada bekas Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Khairuddin Arshad dan Anugerah Pendakwah kepada Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohd Arib Aliah.
Di SEREMBAN, kira-kira 10,000 umat Islam mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri mengelilingi bandar Seremban.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Tengku Besar Mahmud berkenan menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini. -fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Dalam titahnya, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir melahirkan kebimbangan tentang penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan seperti IS yang menyalahgunakan istilah jihad sebagai alasan untuk melakukan keganasan termasuk ke atas umat Islam sendiri.
Baginda meminta rakyat memahami nilai dan ajaran Islam yang sebenar tanpa mudah dipesongkan anasir negatif yang menyalahgunakan istilah jihad sebagai jalan pintas atau 'express lane' ke syurga.
Di KUCHING, kira-kira 10,000 umat Islam menyertai sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diketuai pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar selain Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Masjid Jamek, Petra Jaya.
Dalam ucapannya, Adenan berkata melalui perwatakan dan akhlak yang terpuji, Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam cara dan pendekatan mengurus masyarakat majmuk di Madinah dengan adil, aman dan harmoni.
Gelagat Kontinjen Urus Setia Saudara Kita ketika menyertai perarakan Maulidur Rasul 1436H/2015M peringkat negeri Sarawak. - fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Dalam konteks Sarawak, beliau berkata masyarakat majmuk di negeri itu merangkumi Melayu, Iban, Orang Ulu, Cina, Bidayuh, Melanau, India dan lain-lain saling memerlukan dan seharusnya boleh berkongsi kuasa secara bersama dengan adil dan seimbang.
Di SANDAKAN, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengetuai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini.
Perarakan dari Masjid Daerah Sandakan ke Padang Bandaran turut disertai 94 kontingen daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Prof Madya di Akademi Pengajian Islam UiTM Sabah, Dr Suwaid Tapa, 55, dipilih sebagai Tokoh Lelaki Maulidur Rasul Negeri Sabah manakala Salmah Abdullah, 58, bekas guru, dinamakan sebagai Tokoh Wanita.