UMNO masih menunggu cadangan PAS untuk melaksanakan hudud mengikut matlamat hukum yang sebenar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO juga sedia mendengar sebarang cadangan PAS demi memastikan hukum itu benar-benar difahami.

"Kita hendak tahu apa cadangan PAS kerana sehingga ini kita belum dapat penjelasan tapi kita sedia terima apa cadangan PAS,'' katanya.

Najib yang juga Pengerusi UMNO berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn di sini.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mencadangkan supaya diadakan muzakarah antara UMNO dan PAS bagi memastikan hudud dapat dilaksanakan.

Jelas Najib, anggota Majlis Tertinggi UMNO di dalam mesyuarat juga bersetuju dengan kenyataannya bahawa kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum Allah.

"Kita perlu tahu banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan,'' ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Barisan Nasional (BN) akan berbincang dengan MCA mengenai keperluan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei depan.

"Bagaimanapun setakat ini kita belum membuat sebarang keputusan mengenai PRK berkenaan dan menganggap masih banyak masa sebelum menetapkan keputusan.

"Saya akan bincang dengan MCA, kawasan itu kerusi mereka,'' jelasnya.

Najib turut mengumumkan mesyuarat UMNO bahagian akan diadakan bermula 8 Ogos sehingga 14 September depan.

Pada masa kini, 20,400 cawangan UMNO seluruh Malaysia sudah memulakan mesyuarat masing-masing pada 1 April lepas sehingga 18 Mei depan.