Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa yakin UMNO Sabah akan bertambah kuat selepas mengharungi pelbagai cabaran semasa parti, termasuk yang terbaharu, tindakan beberapa pemimpin cawangan dan bahagian di Semporna mengisytiharkan keluar daripada UMNO.

Kebiasaannya, kata beliau, setiap kali berhadapan dengan cabaran, UMNO akan bertambah kuat dan kukuh kerana apapun yang berlaku akan dijadikan pengajaran oleh anggota serta kepimpinan parti.

"Daripada apa yang dapat perhatikan, semangat sangat tinggi di kalangan jentera parti (di Sabah) dan saya percaya barangkali kadang-kadang bila ada yang berlaku pada kita, antibodi bertambah kuat. Saya meramalkan begitu. Saya meramalkan UMNO Sabah akan menjadi semakin kuat.

"Dia (UMNO Sabah) menjadi lebih bersiap siaga, menyedari situasi yang berlaku kerana dia (UMNO) menjangkakan akan ada ancaman baharu yang datang. Ini memperteguhkan UMNO Sabah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua penerangan UMNO peringkat negeri Sabah malam tadi.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 100 jentera penerangan parti dari seluruh Sabah itu ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Menurut Tan Sri Annuar cabaran yang dihadapi UMNO Sabah sekarang yang melibatkan satu bahagian sahaja bermasalah, jauh lebih kecil berbanding dengan yang pernah dihadapi UMNO Kelantan suatu ketika dahulu apabila krisis dalaman parti bersifat menyeluruh sehingga memaksa UMNO Kelantan membina semula kekuatannya bermula daripada kosong.

Beliau berkata sokongan rakyat serta anggota parti kepada UMNO Sabah juga tidak akan mudah goyah kerana rakyat dan kepimpinan politik Sabah banyak belajar daripada beberapa episod krisis politik di negeri itu pada masa lalu sehingga UMNO muncul sebagai faktor penyatu kepada rakyat di Sabah dan membawa kestabilan politik di negeri berkenaan.

Katanya dengan adanya kestabilan politik, banyak perkara dapat dilakukan untuk membangunkan Sabah demi kebaikan dan kemakmuran rakyat negeri itu.

"Saya fikir rakyat Sabah sangat-sangat menghargai (kestabilan politik ini) dan ini menjadi satu petanda yang sangat baik bagi Sabah sebab akhirnya yang penting itu rakyat... rakyat Sabah mesti mendapat yang terbaik. Jadi semangat itu, insya-Allah, akan memberi peluang kepada rakyat Sabah menikmati kemajuan yang lebih besar," katanya.

Sehubungan itu beliau memuji kepimpinan UMNO Sabah yang mampu membina UMNO sehingga menjadi sebuah parti yang kuat di Sabah dengan anggotanya mempunyai semangat dan penghayatan terhadap perjuangan parti yang amat tinggi.