UMNO menarik balik samannya terhadap Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan dua lagi individu yang sebelum ini didakwa mengaitkan UMNO dengan penyebaran video lucah di laman web.

Mustafa dan dua lagi individu menarik balik kenyataan terhadap UMNO dan menjelaskan kenyataan yang dibuat sebelum ini ditujukan kepada blogger UMNO.

Berikutan keputusan Mustafa dan dua individu itu, hakim Datuk John Louis O'Hara merekodkan persetujuan penyelesaian itu dalam kamar tanpa perintah mengenai kos.

Peguam Raihanah Arifin yang mewakili UMNO memberitahu pemberita kesemua defendan telah menyiarkan kenyataan itu di dalam HarakahDaily dan portal Malaysian Insider dua hari lepas dengan menyatakan kenyataan itu tidak merujuk kepada UMNO tetapi blogger UMNO.

Mustafa dalam HarakahDaily menyatakan kenyataannya bertarikh 13 April tahun lalu dalam satu artikel bertajuk 'Mustafa ceramah di Dungun dakwa UMNO terdesak' adalah merujuk kepada blogger UMNO, bukannya UMNO.

Pada 23 April tahun lepas, UMNO memfailkan saman dengan menamakan Mustafa, peguam cara dan peguam bela bagi Mustafa, Asmuni Awi dan Ketua Pengarang laman portal HarakahDaily.net Zulkifli Sulong sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Writ tuntutan itu difailkan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh bagi pihak UMNO dan mendakwa Mustafa telah membuat memfitnah terhadap UMNO menerusi ceramah dan kenyataan yang kemudian diterbitkan menerusi laman portal www.malaysiakini.com dan HarakahDaily.net serta akhbar The Star.

UMNO memohon ganti rugi am, khas, teruk, teladan, faedah, kos, satu perintah injunksi menghalang defendan atau ejen mereka menerbitkan kata-kata fitnah itu terhadap UMNO dan perintah kesemua defendan menerbitkan permintaan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Sebelum ini, UMNO turut menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan dua individu lagi berhubung penyiaran artikel pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.