KUALA LUMPUR: Penangguhan Pemilihan UMNO telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 24 Jun 2021, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, keputusan itu yang dibuat berdasarkan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO dimuktamadkan selepas mengambil kira pandangan RoS sendiri selain Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dimaklumkan juga dalam mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) secara bersemuka pada 25 April, MKT telah buat keputusan merujuk kepada RoS dan MKN untuk mendapatkan pandangan berkenaan jalankan mesyuarat dan pemilihan parti dalam suasana pandemik COVID-19 di Malaysia

"UMNO telah pertimbangkan pandangan oleh RoS dalam surat bertarikh 2 Jun 2021, surat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 10 Mei 2021, dan Surat Timbalan Ketua Pengarah MKN bertarikh 11 Jun 2021.

"MKN dan KKM telah syorkan bahawa sekiranya pemilihan secara maya tidak dapat dilaksanakan maka penanggguhan perlu dibuat bagi mengekang penularan COVID-19. Pandangan RoS, MKN dan KKM telah dimaklumkan kepada MKT," jelasnya dalam sidang media secara maya hari ini.


[TERKINI] Politik | Sidang media Setiausaha Agung UMNO

BACA: Penangguhan pemilihan UMNO tidak sah, kata RoS

Justeru, MKT tambah Ahmad, telah membuat keputusan menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

Keputusan itu jelasnya dimaklumkan kepada RoS melalui surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021.

Bagaimanapun mesyuarat MKT secara bersemuka pada Jun tambah Ahli Parlimen Pontian itu, tidak dapat dilaksanakan susulan sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan ketika itu.

"Pihak RoS juga akui surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021, melalui surat RoS bertarikh 19 Julai 2021 yang antara lain menyatakan bahawa pihak RoS tidak mempunyai halangan penangguhan pemilihan parti UMNO dan keputusan ini mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

"Keputusan mesyuarat  MKT pada 7 Jun 2021, dimaklumkan kepada pihak RoS melalui surat UMNO bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.

"Pentafsiran diberikan peguam cara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO adakah dengan jelas menyatakan penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MKT, oleh sebab itu UMNO hanya perlu memaklumkan kepada RoS," katanya lagi.

Justeru, tegasnya isu penangguhan pemilihan UMNO yang dikatakan tidak sah oleh RoS adalah tidak berbangkit.

"Berdasarkan kronologi surat-menyurat antara UMNO dan RoS, maka telah wujud satu harapan sah 'legitimate expectation' ke atas pihak RoS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti itu.

"UMNO berharap dengan penjelasan ini, maka polemik UMNO dan RoS dapat diselesaikan. Tambahan lagi, dengan kes COVID-19 yang tinggi mencecah sekitar 20,000 kes sehari.

"Ia menambah lagi kesukaran untuk mesyuarat perwakilan dan pemilihan diadakan dengan penglibatan 3.3 juta orang ahli UMNO dan 66,287 jumlah mesyuarat perwakilan UMNO di seluruh negara," jelasnya.