Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang dijadual pada 16 November ini akan ditangguh ke 4 Disember depan kerana pertembungan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada asalnya, tarikh tersebut merupakan hari kemuncak Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2019 yang bermula dari 13 November.

“Maka kami memutuskan bahawa suatu tarikh baru telah disepakati di mana Perhimpunan Agung UMNO 2019 akan diubah kepada 4 Disember sehingga 7 Disember dan kami akan menentukan bahawa seluruh jentera UMNO dan BN akan ditumpukan di Tanjung Piai,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, pada Khamis.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid menjelaskan, UMNO akan menghantar wakil yang akan diketuai Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ke Kongres Maruah Melayu pada 6 November ini.

“Saya ada komitmen awal, hendak rasmikan Konvensyen UMNO Melaka dan pemukiman Puteri UMNO seluruh Malaysia pada hari sama,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan akan hadir ke kongres yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.