"Kalau dok (masih) berkelahi lagi, kami yang kat bawah ambil alih yang kat atas," itu nasihat Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir kepada kepimpinan UMNO yang kini dilihat tidak sependapat dalam pelbagai perkara.

Dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, Musa berkata kepimpinan parti perlu hentikan pertelingkahan yang akhirnya akan merugikan parti.

"Kami yang di bawah ini hendak bagi nasihat yang di atas, ini bukan main-main. Kalau tidak boleh buat, dok (masih) berkelahi lagi, kami yang kat bawah ini ambil alih (menggantikan) yang kat atas (kepimpinan) ini," tegas Musa.

Nasihat Musa itu turut disokong majoriti perwakilan yang hadir di mana mereka turut sama berdiri.

Musa pada masa sama turut menasihati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menghentikan serangan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami merayu pada Tun (Mahathir) sungguh-sungguh. Hentikanlah 'roadshow', hentikanlah apa saja yang nak bercakap tentang keburukan UMNO. Duduk diam-diam. Kalau geram sangat. Tak payah (tidak perlu) cakap, sebab kami sayang dekat Tun.

"Kami tak mahu aibkan Tun. Nyamuk ketip (gigit) Tun pun kami tampar nyamuk sampai hancur. Tun pun kena adil dengan kami. Jangan kata (mengkritik) dekat kami, kata (mengkritik) dekat Presiden sama macam kata kami. Hina Presiden kami, sama (seperti) hina kami. Kalau ada masalah dengan Presiden, pi (pergi) dalam bilik bertumbuklah dia orang (mereka) di dalam. Jangan bagi bengkak muka sudah," tegas Musa.


Nampaknya, gesaan yang dibuat Musa itu turut senada dengan majoriti perwakilan yang membahaskan usul terbabit pada Khamis.

Selain isu dalaman parti, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut menjadi topik yang dibahas Musa.

Katanya, pemilihan Menteri dalam isu-isu yang mempunyai hubung kait dengan rakyat haruslah menteri yang mampu memberi pandangan serta saranan yang sesuai sekaligus mampu menyelami isi hati rakyat.

"Dulu Datuk kata ada GST harga barang turun, Tapi macam mana harga barang naik pula?

"Ini dia kata dekat kita, harga ayam naik jangan makan ayam, harga ikan naik jangan makan ikan, harga ketam naik jangan makan ketam, harga udang naik jangan makan udang. Yang dok makan hak depa yang makan kat atas (Ahli Majlis Tertinggi) ni sahaja.

"Kita (pula) dia (Menteri) suruh makan apa? Nasi dengan toyu (kicap)," tegas Musa yang melahirkan kekecewaan beliau.

Justeru, beliau mahu semua Menteri bertanggungjawab supaya membuat kenyataan yang munasabah agar ia tidak memburukkan nama parti dan Kerajaan.

Sesi perbahasan akan bersambung semula pada Jumaat di mana usul agama dan pendidikan serta ekonomi bakal mengambil tempat.