KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyokong cadangan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta menggubal kerangka perundangan pendidikan tinggi yang baharu bagi memenuhi keperluan dan aspirasi semasa sektor tersebut.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Profesor Dr Suriyani Muhamad berkata, UMT melihat langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai peluang untuk memperkukuh reformasi tadbir urus pendidikan tinggi negara.
Katanya, pembaharuan perundangan berkenaan dapat membantu meningkatkan autonomi institusi, memperjelas aspek akauntabiliti universiti awam serta menyokong pembentukan ekosistem akademik yang lebih terbuka dan responsif terhadap cabaran masa depan.
"UMT turut berpandangan bahawa usaha tersebut selari dengan hasrat yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035, yang memberi penekanan kepada transformasi, kecemerlangan, daya tahan dan pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi negara, " ujar beliau.
Universiti berkenaan juga berharap kerangka perundangan yang baharu dapat memberikan jaminan yang lebih jelas terhadap kebebasan akademik, termasuk ruang kepada mahasiswa dan warga universiti untuk berfikir, menyuarakan pandangan, menjalankan penyelidikan serta terlibat dalam wacana intelektual dan pembangunan masyarakat.
Bagaimanapun, UMT menegaskan bahawa kebebasan tersebut perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selaras dengan prinsip integriti, etika, akauntabiliti dan tanggungjawab institusi.
"Kerangka undang-undang baharu perlu mewujudkan keseimbangan antara autonomi dan akauntabiliti, selain memastikan tadbir urus institusi pendidikan tinggi terus diperkukuh."
"UMT berpandangan universiti awam perlu kekal sebagai ruang yang kondusif untuk perkembangan ilmu, pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi, di samping membantu melahirkan generasi yang mampu menyampaikan pandangan secara matang dan bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, pula berkata, pemansuhan AUKU dan pengenalan akta baharu nanti perlu juga menekankan soal pembinaan jati diri dan keperibadian unggul yang mengutamakan soal tanggungjawab di sebalik lebih banyak kebebasan diberikan kepada mahasiswa.
"Kita percaya akta baharu nanti akan mengambil kira hal ini kerana kemenjadian mahasiswa yang kaya dengan nilai kemanusiaan perlu dipupuk dan diperkasakan sepanjang pengajian mereka di kampus," katanya.
Dalam kata lain, katanya, ia bukan sekadar soal kecemerlangan akademik tetapi pemerkasaan mahasiswa yang lestari, pada masa sama, mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab di sebalik hak yang diberikan.
Sabtu lalu semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU 1971 bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Antara lain, langkah tersebut diambil susulan memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.