PUTRAJAYA: Kerajaan akan menentukan mekanisme bagi mempercepatkan kelulusan untuk membenarkan pemegang lesen motosikal Kelas B2 dinaik taraf kepada B secara automatik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak berkuasa terbabit sebelum ia dimuktamadkan.

Ahmad Zahid berkata, antara syarat kelulusan yang akan dipertimbangkan ialah mengambil kira individu berumur 35 tahun ke atas dan tempoh memiliki lesen kenderaan.

“Apa yang kami bincangkan ada tempoh tertentu. Pertama dari segi umur pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas.

“Kedua, memegang lesen B2 untuk satu tempoh tertentu, baru lah layak untuk mendapat lesen B.

“Jadi dalam perkara ini kita akan muktamadkan dalam mesyuarat terperinci yang diadakan antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“(Jangka masa) kita serahkan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) untuk tentukan mesyuarat akan datang dan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di bangunan Kementerian Pengangkutan di sini pada Isnin.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu, Loke dalam sesi libat berkata agensi di bawah kementeriannya seperti JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) agak keberatan untuk melaksanakan cadangan tersebut.

Ini kerana, jelas beliau kebimbangan tersebut mengambil kira implikasi keselamatan terhadap pengguna jalan raya.

Pada Ogos tahu lalu, Ahmad Zahid berkata cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada MOT untuk diteliti terlebih dahulu.

Beliau berpendapat, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi termasuk menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara.