Undang-undang tegas, tubuh pasukan khas tangani penderaan seksual kanak-kanak dalam talian - Lee

Lee turut menggesa agar sokongan psikologi dan sosial untuk mangsa ditingkatkan termasuk memastikan kaunseling segera, terapi jangka panjang dan perlindungan privasi sepenuhnya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peningkatan mendadak kes penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian mencetuskan gesaan untuk keperluan terhadap undang-undang lebih ketat, proses pendakwaan segera serta penubuhan pasukan khas yang lebih teratur bagi menangani isu berkenaan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata peningkatan berkenaan adalah isu nasional yang tidak boleh dipandang enteng, di samping menegaskan setiap imej, video atau mesej bersifat eksploitasi melibatkan kanak-kanak bererti sebuah kehidupan telah dicemari dan masa depannya musnah.
Beliau berkata seiring dengan kemajuan teknologi digital, pelaku semakin canggih iaitu menggunakan media sosial, platform permainan, aplikasi mempunyai ciri penyulitan dan kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI) untuk menyasarkan kanak-kanak.
"Isu ini memerlukan pendekatan seluruh negara. Pertamanya, pentingnya undang-undang yang lebih kukuh dan penguatkuasaan lebih tegas. Kes penderaan seksual kanak-kanak dalam talian perlu dikenakan hukuman lebih berat, pendakwaan segera serta keupayaan siasatan yang ditambah baik.
"Agensi berkaitan perlu dilengkapi dengan alat forensik digital canggih untuk mengesan pesalah, termasuk mereka yang menyembunyikan diri di sebalik VPN (rangkaian peribadi maya), akaun tanpa nama dan rangkaian rentas sempadan.
"Selain itu, kerajaan perlu menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian Kebangsaan yang menggabungkan polis, CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta pertubuhan bukan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendekatan secara bersepadu itu akan memastikan tindak balas yang lebih cepat terhadap laporan, perkongsian maklumat secara masa nyata serta pemantauan yang konsisten terhadap ancaman yang sedang muncul.
Pada masa sama, Lee berkata platform perlu memperkenalkan sistem pengesahan umur yang lebih kukuh, pengesanan awal terhadap tingkah laku pengantunan serta kewajipan melaporkan sebarang kes eksploitasi kanak-kanak yang disyaki.
"Mereka tidak boleh menunggu hingga penderaan itu tular sebelum tindakan diambil. Kanak-kanak dan ibu bapa perlu diperkasakan melalui pendidikan, dengan menyepadukan keselamatan dalam talian ke dalam kurikulum, termasuk mengenal pasti tingkah laku pengantunan, mengelak interaksi dalam talian yang berisiko serta menggunakan saluran pelaporan yang selamat," katanya.
Lee berkata ibu bapa memerlukan panduan amali untuk memantau tabiat digital dan mengenal pasti tanda amaran dengan lebih awal, di samping menekankan kesedaran bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dan setiap isi rumah perlu memahami risiko yang wujud.
Beliau turut menggesa agar sokongan psikologi dan sosial untuk mangsa ditingkatkan termasuk memastikan kaunseling segera, terapi jangka panjang dan perlindungan privasi sepenuhnya.
"Pemimpin komuniti, guru, syarikat teknologi, penguat kuasa undang-undang serta ibu bapa mesti bersatu. Malaysia tidak boleh membiarkan kanak-kanaknya menjadi mangsa dalam dunia digital. Keselamatan mereka (kanak-kanak) adalah tanggungjawab bersama dan perlindungan mereka mesti diutamakan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


