Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhak memutuskan sama ada usul undi tidak percaya boleh dilakukan atau tidak.

Razaleigh berkata speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul sekiranya ia tidak berada dalam urusan aturan mesyuarat Dewan Rakyat di Parlimen.

Tambahnya, menjadi hak kepada mana-mana ahli Parlimen untuk mengemukakan usul undi tidak percaya.

"Itu hak kita sebagai ahli Parlimen untuk membawa usul undi tidak percaya kepada kerajaan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Tapi juga kita diberitahu speaker berhak menolak apa sahaja jika ia tidak ada dalam aturan urusan mesyuarat," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

"Jika di peringkat awal-awal lagi sebarang usaha dikemukan tetapi tidak diluluskan speaker, tetapi ada cara lain, namun kita bincangkannya dalam forum yang lain," kata KuLi, yang merupakan bekas Menteri Kewangan.

Sidang media hari ini diadakan untuk membincangkan hal-hal berhubung tindakan terhadap bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang yang didakwa sengaja melakukan tindakan dianggap menjejaskan perbankan negara dan perkhidmatan kewangan.

Majlis yang bermula pada jam 10.30 pagi dihadiri oleh beberapa pemimpin Barisan Nasional berpengaruh antaranya adalah Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.