Pemilihan PAS yang bakal berlangsung ketika Muktamar Tahunan ke-59 pada 22 hingga 24 November depan semakin rancak diperbualkan apabila beberapa nama disebut-sebut sedang mengintai peluang untuk bertanding jawatan-jawatan tertentu.

Biarpun mesyuarat Pas kawasan masih berlangsung dan dijadualkan akan berakhir pada 30 September ini dan pencalonan mereka masih belum jelas, namun cakap-cakap mengenai kecenderungan hasrat mereka kini sudahpun tersebar luas.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, penyadang jawatan tersebut, Mohamad Sabu sudah pun menyatakan hasratnya untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Sumber Pas memberitahu Astro AWANI terdapat beberapa nama lain yang dijangka akan dicalonkan oleh Pas kawasan untuk turut merebut jawatan nombor dua itu. Antara nama yang disebut-sebut bakal dicalonkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden Pas.

Selain Husam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga dikatakan bakal dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden bagi mewakili golongan ulama dalam Pas.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, juga dijangka akan dicalonkan untuk mewakili golongan ulama. Pada pemilihan sebelum ini, Tuan Ibrahim tewas untuk jawatan yang sama ditangan Mohamad Sabu dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan seorang lagi calon, Nasharuddin Md Isa.

Menurut sumber Pas itu lagi, seorang lagi calon yang kemungkinan dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden ialah ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Bagaimanapun sehingga kini hanya Mohamad Sabu sudah menyatakan pendirian manakala yang lain mengambil sikap tunggu dan lihat.

Laluan sukar dijangka bakal dihadapi oleh Mohamad Sabu berikutan ada usaha supaya jawatan utama parti diisi oleh golongan ulamak.

Sementara itu, Salahuddin Ayub dan ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dijangka dapat mengekalkan jawatan Naib Presiden biarpun dikatakan bakal berdepan calon-calon pilihan golongan ulamak.

Ahli parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan setiausaha Majlis Syura Ulama Datuk Nik Zawawi Salleh dikatakan bakal turut bersaing bagi jawatan itu.

Husam dan Tuan Ibrahim juga disebut-sebut bakal mendapat pencalonan untuk jawatan naib presiden.

Pada pemilihan lalu Salahudin meraih 753 undi, Husam (660) dan Mahfuz memperolehi 616 undi, sekaligus melengkapkan tokoh profesional ke jawatan naib.

Berdasarkan bacaan semasa, Salahudin dikatakan berpeluang cerah mempertahankan jawatan itu memandangkan populariti dan sokongan kepada mereka di peringkat akar umbi biarpun tewas dalam

Peluang Husam dilihat tipis memandangkan beliau tidak memegang apa-apa jawatan utama dalam kerajaan negeri termasuk kurangnya sokongan di peringkat akar umbi.

Antara yang dilihat memberi saingan sengit merebut jawatan itu adalah Idris yang kini sudah berjawatan anggota parlimen Bukit Gantang dan ahli Majlis Syura Ulama.

Bagi jawatan presiden pula, setakat ini hanya Yang Dipertuan Pas Padang Serai, Fauzi Tahir menyatakan hasrat menerusi laman mikro twitter untuk bertanding jawatan tersebut.

Dijangkakan ada juga Pas Kawasan yang akan mencalonkan Mohamad Sabu dan Husam Musa bagi jawatan presiden.