ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) julung kalinya diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Istiadat Pentauliahan Diraja Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam yang berlangsung di universiti itu di sini hari ini.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata istiadat itu menghimpunkan hampir 2,000 pegawai kadet daripada 20 universiti awam untuk menerima tauliah masing-masing, dengan keseluruhannya hampir 4,000 orang termasuk pegawai dan anggota tentera berada di universiti berkenaan.
Beliau berkata penganjuran istiadat ke-44 itu bukan sekadar memberi penghormatan kepada UniMAP sebagai tuan rumah, malah menjadi sebahagian daripada detik bersejarah universiti berkenaan yang menyambut Jubli Perak penubuhannya tahun ini.
“Jadi, saya melihat penganjuran istiadat pentauliahan ini sebagai sebahagian daripada naratif Jubli Perak UniMAP. 25 tahun ialah perjalanan membina institusi manakala pentauliahan PALAPES ialah perjalanan membina manusia. Kedua-duanya mempunyai satu persamaan, iaitu tentang legasi dan masa depan negara,” katanya.
Zaliman berkata ia datang bersama amanah dan tanggungjawab cukup besar yang perlu direalisasikan dan diterjemahkan dengan baik, termasuk memastikan kesiapsiagaan lokasi, prasarana, logistik serta keselamatan, selain aspek protokol dan perjalanan istiadat berada pada tahap terbaik.
“Walaupun UniMAP sudah 25 tahun ditubuhkan, kami tiada padang kawad. Maka, pihak kami menaik taraf satu kawasan di dalam universiti ini untuk dijadikan Dataran Padang Kawad yang cukup luas. Padang kawad ini dapat disiapkan dalam tempoh empat bulan sahaja dan boleh mula digunakan untuk latihan pada 25 Ogos lepas,” katanya.
Beliau berkata istiadat itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dengan keberangkatan sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut menyerikan istiadat berkenaan.
Sementara itu, Zaliman berkata beliau berharap pegawai kadet PALAPES melihat peranan mereka dalam konteks lebih luas bagi menghadapi kepesatan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), ancaman siber, maklumat palsu dan gangguan terhadap sistem digital yang boleh menjejaskan ketahanan masyarakat.
Beliau berkata pegawai kadet itu perlu mempunyai kesedaran keselamatan dan kepentingan strategik negara, mempunyai literasi teknologi yang baik supaya mampu memahami persekitaran ancaman baharu serta mempunyai daya tahan dan keupayaan membuat keputusan ketika berhadapan situasi tidak menentu.
“Ancaman terhadap sesebuah negara hari ini semakin kompleks dan tidak semestinya datang dalam bentuk yang kita boleh lihat secara fizikal. Saya percaya dengan pengalaman berada di universiti serta kemahiran yang mereka peroleh semasa latihan ini, mereka mempunyai pemikiran kritis yang dapat membantu membanteras segala ancaman tadi,” katanya.
Zaliman berkata teknologi tidak boleh dipisahkan daripada nilai kerana teknologi boleh menjadi alat yang sangat berkuasa tetapi manusia yang menggunakannya mesti mempunyai etika dan tanggungjawab.
Beliau berkata ia juga selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang memberikan penekanan kepada AI dan teknologi sebagai pemboleh daya, di samping mengekalkan nilai kemanusiaan, etika dan integriti sebagai asas pembentukan bakat negara.
Dalam pada itu, Zaliman berkata kokurikulum UniMAP menetapkan hasil pembelajaran merangkumi keupayaan berkomunikasi, memimpin dan bekerja secara berkesan dalam pasukan, selain keupayaan menilai maklumat dan membuat keputusan yang berkesan.
“Penilaian penting kerana apa yang mahu dibina perlu diterjemah kepada tingkah laku dan pencapaian yang boleh dilihat.
“Dalam konteks kokurikulum, kami bukan hanya mahu tahu sama ada seseorang pelajar hadir atau tidak. Kami mahu melihat perkembangan dirinya, adakah dia semakin berdisiplin, boleh bekerja dalam pasukan, mampu memimpin dan boleh membuat keputusan dengan baik,” katanya.
Zaliman berkata bagi seorang bakal pegawai muda, perkara itu sangat penting kerana profesionalisme bukan hanya diukur melalui pengetahuan tetapi sikap dan tingkah laku.
“Saya selalu melihat disiplin sebagai perkara kecil yang menghasilkan kesan besar. Menepati masa, menjaga penampilan, melaksanakan tugasan dan menghormati arahan mungkin nampak sederhana tetapi apabila dilakukan secara konsisten, ia membentuk karakter,” katanya.
-- BERNAMA