Skip to main content

Malaysia

UniMAP meterai MoU, buka peluang kerjasama dengan 165 IPT Indonesia

UniMAP MOU IPT INDONESIA
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Yogyakarta, sekali gus membuka akses kerjasama dengan 165 institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh Indonesia. - Gambar UniMAP
Advertisement

MEDAN, INDONESIA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Yogyakarta, sekali gus membuka akses kerjasama dengan 165 institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh Indonesia.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata, kerjasama strategik itu dijangka memberikan lonjakan kepada bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat universiti berkenaan menerusi jaringan luas institusi pendidikan tinggi Muhammadiyah.

Beliau berkata, kerjasama tersebut membuka ruang kepada mobiliti pelajar, pertukaran staf dan ahli akademik, pengajian pascasiswazah, penyelidikan dan permohonan geran bersama, penerbitan serta penyeliaan bersama.

“Turut diterokai ialah penganjuran syarahan, simposium, seminar, persidangan, bengkel dan program pensyarah pelawat yang boleh memperkaya pengalaman akademik kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan pagi ini.

MoU itu ditandatangani oleh Zaliman bagi pihak UniMAP, manakala majlis pendidikan tinggi berkenaan diwakili oleh Pengerusinya, Prof Dr Bambang Setiaji dengan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berangkat pada majlis makan malam, di sini, malam tadi.

Pemeteraian MoU itu diadakan bersempena dengan Istiadat Pemasyhuran Raja Muda Perlis sebagai Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) pertama yang berlangsung di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), di sini semalam.

Zaliman berkata, kerjasama tersebut turut menyediakan peluang kepada pensyarah daripada rangkaian Universitas Muhammadiyah untuk melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UniMAP selain meneroka pelaksanaan program ijazah dual.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja mampu meningkatkan mobiliti akademik, malah turut berpotensi memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi antara Malaysia dengan Indonesia.

Sementara itu, Zaliman berkata, UniMAP kini mempunyai 29 MoU dan memorandum perjanjian (MoA) dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia yang menunjukkan hubungan akademik kedua-dua negara semakin berkembang.

Beliau berkata, kerjasama penyelidikan pula melibatkan bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, kemanusiaan, material, antena serta rangkaian dan komunikasi dengan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.

“Hubungan ini bukan lagi sekadar pertukaran akademik, tetapi telah berkembang kepada penyelidikan dan inovasi yang mempunyai nilai serta impak lebih besar.

“Melalui jaringan Muhammadiyah yang begitu luas, kita melihat potensi untuk memperbanyak kerjasama projek penyelidikan, di samping membangunkan bakat yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Zaliman berkata, hubungan akademik yang semakin kukuh itu turut menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelajar dari Indonesia ke UniMAP, khususnya pada peringkat pascasiswazah dengan jumlahnya hampir 100 pelajar.

"Perkembangan itu membuktikan bahawa usaha pengantarabangsaan UniMAP bukan sahaja memberikan peluang kepada warga universiti menimba pengalaman di luar negara, malah juga menjadikan UniMAP sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement