Skip to main content

Malaysia

UniSIRAJ peroleh projek perundingan bernilai hampir RM1.5 juta

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara Naib Canselor UniSIRAJ Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle (kanan) dan First Vice-Rector for Administrative Affairs di Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage, Prof Dilmurod Nasimov di Samarkand, 7 Okt 2026. --fotoBERNAMA
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara Naib Canselor UniSIRAJ Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle (kanan) dan First Vice-Rector for Administrative Affairs di Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage, Prof Dilmurod Nasimov di Samarkand, 7 Okt 2026. --fotoBERNAMA

Advertisement

KANGAR: Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) mencatat pencapaian signifikan dalam agenda penjanaan pendapatan apabila berjaya memperoleh 24 projek perundingan bernilai RM1,489,115, iaitu hampir 15 kali ganda berbanding sasaran RM100,000 yang ditetapkan.

Canselor UniSIRAJ Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pencapaian itu membuktikan keberkesanan strategi penjanaan pendapatan universiti menerusi perkhidmatan perundingan, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap kepakaran dan kompetensi warga UniSIRAJ.

“Pencapaian ini bukan sahaja menyumbang kepada pengukuhan kedudukan kewangan universiti, malah meningkatkan keterlihatan kepakaran, jaringan strategik serta reputasi UniSIRAJ sebagai institusi yang mampu menawarkan penyelesaian berasaskan ilmu dan kepakaran kepada pihak luar,” titah Raja Muda Perlis dalam kenyataan oleh Istana Arau hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan menerima undangan menghadiri Majlis Santapan Malam anjuran Timbalan Gabenor Wilayah Samarkand Kobilov Rustam Rajabboyevich di Uzbekistan.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang turut hadir Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan Rafedah Abdul Aziz.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kejayaan memperoleh 24 projek perundingan itu turut memperlihat keupayaan UniSIRAJ yang dimiliki Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu membina jaringan dengan pelbagai pihak khususnya daripada sektor korporat, industri dan badan bukan kerajaan (NGO).

Baginda bertitah antara klien yang mendapatkan khidmat kepakaran UniSIRAJ ialah Tavekun Manufacturing, Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan Ihsan Care Berhad sekali gus menunjukkan kepakaran warga universiti mempunyai nilai dan permintaan dalam pelbagai sektor.

“Perkhidmatan perundingan bukan sahaja menjadi medium pemindahan ilmu dan kepakaran, malah telah berkembang sebagai satu daripada sumber penjanaan pendapatan yang berpotensi besar kepada UniSIRAJ.

“Pada masa sama, penglibatan staf akademik dalam projek-projek berkenaan memberi ruang untuk kepakaran mereka diterapkan secara langsung dalam menyelesaikan keperluan sebenar organisasi, industri dan masyarakat,” titah baginda.

Baginda turut menekankan bahawa potensi itu perlu terus diperkasakan menerusi pemetaan kepakaran staf secara lebih sistematik, pembangunan pakej perundingan tersusun serta peluasan jaringan strategik dengan sektor korporat, industri, agensi kerajaan dan NGO.

Raja Muda Perlis bertitah ia penting bagi memastikan perkhidmatan perundingan dapat berkembang sebagai satu ekosistem yang bukan sahaja menyumbang kepada penjanaan pendapatan malah memperkukuh pemindahan ilmu, inovasi dan keterlibatan universiti dengan masyarakat serta industri.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan Registan Sound & Light Show di Registan Square iaitu antara mercu tanda sejarah paling ikonik di Samarkand.

Registan Square merupakan sebuah kompleks bersejarah yang terkenal dengan tiga madrasah utama iaitu Ulugh Beg, Sher-Dor dan Tilya-Kori yang mengelilingi sebuah dataran awam yang menjadi simbol kegemilangan Tamadun Islam di Asia Tengah.

Istana Arau memaklumkan kompleks itu berkembang sebagai pusat ilmu, pendidikan, keagamaan dan kehidupan awam di Samarkand khususnya pada zaman pemerintahan Dinasti Timurid. 

"Seni bina madrasah yang dihiasi jubin berwarna biru, mozek dan ukiran geometrik turut menjadikan Registan antara warisan seni bina Islam paling penting di rantau tersebut," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement