PUTRAJAYA: Unit Integriti dalam sesebuah organisasi perlu diperkasakan sebagai rakan strategik kepada pengurusan tertinggi dalam mengenal pasti risiko rasuah lebih awal, memperbaiki kelemahan sistem dan membina budaya integriti.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata unit berkenaan juga tidak harus dilihat sebagai unit yang hanya mengurus aduan, pematuhan atau tindakan susulan selepas berlakunya sesuatu pelanggaran.
"Apabila institusi kita kukuh, tatakelola dilaksanakan dengan baik dan integriti menjadi sebahagian daripada budaya organisasi, ruang untuk berlakunya rasuah dapat dipersempitkan.
"Saya percaya apabila Unit Integriti diperkasakan, pengurusan pula memberikan sokongan yang sewajarnya dan hasil penyelidikan dimanfaatkan dalam membuat keputusan, kita akan mempunyai satu ekosistem pencegahan rasuah yang jauh lebih kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman.
Johari berkata Unit Integriti perlu dilihat sebagai rakan strategik kepada pengurusan tertinggi dalam membina budaya integriti dan mencegah risiko rasuah sejak dari awal.
"Pada akhirnya, kejayaan Unit Integriti bukan diukur berdasarkan berapa banyak kes yang ditemui semata-mata tetapi kejayaan lebih besar ialah apabila risiko dapat dikenal pasti lebih awal, kelemahan sistem dapat diperbaiki dan budaya integriti menjadi sebahagian daripada DNA organisasi," katanya.
Johari berkata perkembangan teknologi, ekonomi digital, transaksi rentas sempadan, penggunaan data raya dan kecerdasan buatan (AI) telah mewujudkan bentuk serta modus operandi baharu rasuah yang perlu difahami.
Beliau berkata rasuah bukan lagi semata-mata berkaitan pemberian atau penerimaan suapan secara konvensional, sebaliknya kelemahan tatakelola, konflik kepentingan, ketirisan sumber serta kelemahan kawalan dalaman boleh membuka ruang kepada salah laku dan rasuah.
"Maka, usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya bersifat reaktif. Pencegahan perlu bermula dengan mengenal pasti kelemahan sistem, memperkukuh tatakelola serta membina budaya integriti dalam setiap organisasi," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha membanteras rasuah perlu disokong oleh ilmu, data dan penyelidikan, dengan dapatan kajian diterjemahkan kepada penambahbaikan sistem dan amalan, bukan sekadar menjadi bahan akademik.
Johari berkata perkembangan teknologi termasuk analitik data dan AI turut membuka ruang baharu untuk meningkatkan ketelusan, mengenal pasti risiko lebih awal dan memperkukuh proses membuat keputusan.
"Namun, teknologi hanyalah alat. Pada akhirnya, kekuatan sesebuah sistem tetap bergantung kepada manusia yang mengendalikannya serta nilai integriti, amanah dan tanggungjawab yang menjadi pegangan," katanya.
Beliau berkata kejayaan sebenar agenda antirasuah tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan, pertuduhan atau sabitan, sebaliknya berdasarkan sejauh mana ruang berlakunya rasuah dapat ditutup, kelemahan sistem diperbaiki dan budaya organisasi yang menjunjung integriti dapat dibina.
Dalam pada itu, Johari berkata Dewan Rakyat mempunyai mekanisme dan inisiatif tersendiri dalam memperkukuh tatakelola, ketelusan serta akauntabiliti institusi awam, antaranya melalui pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang mengetengahkan 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.
"Usaha ini mencerminkan peranan Dewan Rakyat yang bukan sahaja menjadi medan perbahasan dan penggubalan undang-undang, tetapi turut memainkan fungsi penting dalam memastikan akauntabiliti, ketelusan dan tatakelola yang baik terus menjadi asas dalam pentadbiran negara," katanya.
-- BERNAMA