Seramai 277 pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir selamat tiba di tanah air hari ini.

Mereka yang dibawa pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines, MAS MH8101 dari Kaherah ditemani Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengetuai lawatan kerja Kementerian Pendidikan Malaysia ke Mesir.

Idris ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) berkata sehingga hari ini seramai 1,305 pelajar berjaya dibawa pulang dalam Ops Piramid 2.

"Hari ini kita bawa pulang 277 pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir. Ini bermakna setakat ini kita sudah berjaya membawa pulang 1,305 pelajar semuanya dan kita akan membawa pulang baki 1,056 dalam tempoh terdekat."

Katanya dengan jumlah itu beliau yakin proses membawa pulang pelajar akan selesai pada 30 Ogos ini.

Di Mesir, Idris sempat mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan beberapa buah universiti di sana bagi membincangkan status pengajian pelajar Malaysia.

Katanya hasil pertemuan itu beberapa universiti seperti Universiti Al-Azhar dan Universiti Kaherah bersetuju untuk membenarkan pelajar Malaysia mengambil ujian ulangan di tanah air.

Mereka dibenarkan mengambil ujian berkenaan pada 3 hingga 5 September ini dan peperiksaan akan diuruskan oleh pihak universiti berkenaan dengan kerjasama kementerian.

Sementara itu perbincangan serupa sedang diadakan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan bersama pihak pengurusan universiti yang lain.

Sebarang keputusan akan diperincikan dalam tempoh terdekat.

Idris pada masa sama turut membawa khabar gembira dari Mesir.

"Naib Presiden Universiti Al-Azhar secara prinsipnya telah bersetuju untuk membuka sebuah kampus cawangan yang pertama di luar Mesir di Malaysia. Kampus yang dikenali sebagai Universiti Al-Azhar Kampus Tuanku Muhriz akan dibina diatas sebidang tanah seluas 200 ekar di Nilai, Negeri Sembilan."

Idris menjelaskan perbincangan mengenai cadangan untuk membuka kampus berkenaan telah lama dilakukan.

Kampus itu yang dijangka mula beroperasi pada September 2014 bakal menawarkan 3 kursus permulaan iaitu pengajian Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab.

"Persetujuan ini merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia dan akan memberi kemudahan kepada umat Islam di rantau Asia yang mahu meneruskan pengajian di universiti berkenaan."