KUALA LUMPUR:Tidak seperti kebiasaannya, suasana di Kolej Kediaman Za'aba, Universiti Malaya (UM) lengang biarpun hari ini merupakan hari pendaftaran kemasukan pelajar baharu.

Ia susulan penangguhan pendaftaran secara bersemuka bagi kemasukan pelajar sesi akademik 2020/2021, seperti yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Mengikut jadual, pelbagai aktiviti sudah dirancang untuk kira-kira 4,000 pelajar, bagi mengisi minggu orientasi Week of Welcome (WOW) yang akan berlangsung bermula malam esok (Ahad) hingga Jumaat.

Namun penangguhan itu memaksa pihak universiti menjalankan semua aktiviti secara dalam talian, termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran, sehingga Disember depan.

Mengambil kira sebahagian pelajar yang sudah tiba awal sebelum notis dikeluarkan, pihak universiti memberi pilihan sama ada untuk terus berada di kampus atau pulang ke rumah.

"Kami faham, ada yang datang dari jauh dan terpaksa teruskan perjalanan. Sebab itu hari ini, kami tetap teruskan acara sambutan pelajar baharu.

"Boleh nampak pelajar-pelajar yang menjadi fasilitator sedikit terkilan kerana minggu ini sepatutnya berlangsung dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Tetapi keadaan memaksa dan kami juga sedih dengan situasi ini.

"Yang masih berada di rumah, tak mengapa... boleh teruskan pendaftaran dan mengikuti semua aktiviti dan pembelajaran secara dalam talian.

"Yang sudah dalam perjalanan, boleh teruskan perjalanan dan kami sentiasa bersedia menerima kehadiran pelajar dan ibu bapa.

"Kalau ibu bapa nak bawa anak balik lepas mendaftar, silakan kerana pilihan di tangan anda," kata Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, Prof Ir Dr. Abdul Aziz Abdul Raman.

Dr Abdul Aziz juga memaklumkan, ibu bapa dan penjaga tidak perlu risau kerana kebajikan pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus akan sentiasa dijaga dan dititik beratkan.

Bagi pelajar yang sudah tiba awal, majoritinya memilih untuk terus berada di kampus kerana faktor capaian internet yang lebih baik, selain kemudahan lain yang disediakan pihak universiti.

"Ibu bapa nasihatkan saya teruskan saja duduk di sini kerana nak balik Sarawak memerlukan kos yang tinggi.

"Mereka tidak bimbang kerana UM juga menerima kehadiran pelajar, lagipun saya di kampus, bukan di luar," kata Siti Nur Izzah, 20.

"Saya dapat notis tentang penangguhan sebaik tiba di KLIA. Terus hubungi ibu bapa tetapi mereka nasihatkan teruskan saja di sini," kata Nura'zirah Roslan, yang mengakui tidak mempunyai perancangan untuk pulang ke kampung halaman di Sarawak buat masa ini.

Bagi Idores Razak, perancangan menghantar anak kembarnya ke UM diteruskan kerana persiapan sudah dilakukan lebih awal.

"Saya bertolak awal pagi tadi dari Batu Pahat. Semalam dah dapat notis tapi datang juga kerana persiapan sudah buat.

"Lagipun saya rasa anak-anak boleh belajar dengan lebih baik bila berada di kampus," katanya yang mengambil cuti untuk urusan pendaftaran anak-anaknya.

"Tak jangka langsung akan keluar notis penangguhan, jadi datang sahajalah asalkan ikut SOP," kata Nor Farihani Idores, pelajar kursus Sastera Sejarah.

"Saya lebih suka berada di kampus sebab suasana lebih kondusif. Kalau belajar di rumah, susah nak fokus.

"Lagipun berada di sini, saya boleh kenal ramai kawan dan bersemangat untuk belajar," kata Nor Farihana Idores, pelajar Sastera Pengajian Antarabangsa dan Strategik.

Penangguhan sesi fizikal atau bersemuka di institut pengajian tinggi dibuat KPT pada Khamis, susulan kenaikan kes positif COVID-19.