KUALA LUMPUR: Banyak punca peningkatan kes COVID-19 sebelum ini boleh dijadikan sebagai iktibar untuk masa akan datang sebagai menjayakan pelan pemulihan negara.

Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, kerajaan perlu belajar daripada kesilapan dan cuba menerima pendapat rakyat sebelum melakukan sesuatu tindakan.

“Secara jujurlah ya, kita telah mendapat pengajaran daripada situasi COVID-19 sebelum ini, pertama kita dapati bahawa pihak kerajaan tidak begitu mendengar pendapat pihak luar daripada kerajaan.

“Selain itu, (kerajaan telah) mengambil tindakan yang tidak begitu sesuai semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, ditambah pula dengan pembukaan sektor besar-besaran dan sektor pendidikan secara besar besaran.

“Jadi itu saya rasa adalah beberapa perkara yang telah diramalkan oleh pakar-pakar kesihatan bahawa ia akan berlaku,” jelas Dr Zainal ketika ditemubual Astro AWANI pada Selasa.

BACA: Pelan Pemulihan Negara: Parlimen boleh bersidang antara Sept, Okt - PM 

Selain itu, beliau menyuarakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok mengikut tempoh yang ditetapkan, program vaksinasi perlu dimainkan oleh beberapa pihak lain dan bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.

“Kedua, saya rasa penglibatan daripada luar kerajaan masih lagi kurang tapi Alhamdulillah telah meningkat dengan ada kerjasama pihak swasta, hospital, universiti dan komuniti.

“Saya rasa ini kita akan capai. Yang paling penting yang untuk kita betul-betul capai dalam fasa ini adalah penguatkuasan dan pemantauan.

“Kita tahu berlaku kelonggaran ketidakpatuhan SOP ketat, kerana itulah berlaku kluster perayaan dan sebagainya.

“Ini kerana memang pihak terlibat ini tidak mematuhi SOP dan kedua pihak penguatkuasa tidak begitu ketat dalam membuat pemantauan dan pengawalan dan masih ada kelonggaran,” ujarnya lagi.

Lantaran itu, Dr Zainal mencadangkan bahawa jika negara ingin menjayakan Pelan Pemulihan Negara daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum hujung tahun ini, kita sama-sama perlu memastikan kluster-kluster tempat tertentu itu dipantau dan dikuatkuasakan SOP dengan begitu ketat sekali.

BACA: 4 fasa Pelan Pemulihan Negara, 3 indikator utama jadi panduan 

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat fasa melibatkan pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Ujar beliau, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 'Tiga Indikator Ambang Utama' ataupun 'threshold' untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

Indikator kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

Indikator ketiga ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.