KUALA LUMPUR: Proses dokumentasi, penilaian teknikal dan tempoh kelulusan 'Lesen Berisiko' seperti pusat hiburan, kilang dan tadika, dipendekkan kepada maksimum 14 hari bekerja berbanding 32 hari sebelum ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu, mengurangkan bilangan dokumen yang diperlukan kepada empat jenis dokumen sahaja.

"Kami menyisihkan dokumentasi secara manual dan surat-menyurat, iaitu ulasan dan penilaian teknikal semasa atau selepas lawatan tapak dilaksanakan secara dalam talian.

"Kerajaan Tempatan (KPKT) kini bergerak ke arah mentransformasikan pengurusan hal ehwal pelesenan oleh Bahagian Pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan atau Agensi Teknikal.

"Ia untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan permohonan lesen, serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan," katanya.

Selain itu, Nga berkata KPKT dengan kerjasama PBT, sentiasa proaktif dalam memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan kepada peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan di gerai kecil, tepi jalan dan premis lain.

Beliau berkata KPKT menerusi PBT juga melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya memendekkan tempoh kelulusan permit perniagaan kecil dan memberikan kelonggaran kepada syarat sedia ada sekiranya perlu.

Selain itu, Nga berkata inisiatif lain juga termasuk memanjangkan tempoh masa berniaga, bilangan hari berniaga dan menambah petak penjaja, serta menguatkuasakan pengeluaran dan pemantauan lesen dan permit perniagaan kepada warganegara Malaysia sahaja.

"Mulai tahun 2024, pihak KPKT memperkenalkan Garis Panduan Sistem Pusat Memudah Cara Pelaksanaan (OSC) Pelesenan PBT bagi menyeragamkan proses, dokumentasi, prosedur permohonan serta kelulusan lesen di peringkat PBT.

"Garis panduan ini yang disediakan bersama dengan Sistem OSC Pelesenan PBT, bakal menyeragamkan proses dokumentasi dan tempoh kelulusan PBT bagi Lesen Tidak Berisiko seperti lesen perniagaan kedai runcit, penjaja dan pejabat dalam tempoh tidak lebih daripada 24 jam," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata garis panduan dan Sistem OSC Pelesenan diwujudkan berlandaskan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang akan diguna pakai oleh semua PBT di Semenanjung Malaysia dahulu dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak kemudian.

-- BERNAMA