Usaha angkat Kampung Sungai Melayu sebagai tapak warisan UNESCO diteruskan

Pengunjung tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti menyusuri sungai dan hutan paya bakau sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Kampung Sungai Melayu. -Gambar fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Usaha menjadikan Kampung Sungai Melayu, di sini sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan diteruskan melalui perbincangan dengan Tourism Johor dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ringkasan AI
- Kampung Sungai Melayu dijangka diusulkan sebagai tapak warisan UNESCO melalui perbincangan dengan Tourism Johor dan MOTAC, bagi memperkukuh statusnya sebagai destinasi ekopelancongan.
- Perkhidmatan teksi air antara Puteri Harbour dan kampung itu dicadang bermula tahun depan untuk tarik pelancong dan mudahkan akses.
- Sempena Tahun Melawat Johor 2026, kampung itu disasar terima 10,000 pelancong dalam enam bulan pertama, dengan pelbagai tarikan baharu dirancang termasuk sukan air tradisional dan persembahan kebudayaan.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Program Jalinan Mesra Media Bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Eco Tourism Kampung Sungai Melayu, di sini, hari ini.
Pada 2015, Pandak yang ketika itu merupakan Ketua Kampung Sungai Melayu dipetik berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mewartakan kampung itu sebagai tapak warisan bagi membolehkan ia menjadi antara hab pelancongan utama di Johor.
Beliau berkata beberapa kajian telah dijalankan pelbagai agensi berhubung perkara itu dan hasilnya akan dibentang kepada MOTAC bagi mendapatkan pengiktirafan berkenaan.
Sementara itu, Pandak berkata perkhidmatan teksi air dicadang diwujudkan antara Puteri Harbour dan Kampung Sungai Melayu di sini seawal tahun depan bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung menikmati keunikan kawasan itu.
Beliau berkata jarak antara kedua-dua lokasi berkenaan hanya kira-kira lapan kilometer dan mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan.
"Perkhidmatan ini bukan sahaja dapat menarik pelancong, tetapi juga memudahkan mereka yang bekerja di kawasan sekitar Puteri Harbour dan Kota Iskandar untuk ke Kampung Sungai Melayu, contohnya bagi menikmati makanan popular seperti asam pedas," katanya.
Pandak berkata cadangan pelaksanaan projek itu telah dibincangkan bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bagi menilai kesesuaian dan keperluannya, dengan sasaran untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.
Beliau berkata sempena Tahun Melawat Johor 2026, pihaknya menyasarkan kehadiran 10,000 pelancong pada enam bulan pertama tahun hadapan.
Menurut beliau, sejak 2016, kampung nelayan itu telah menerima kedatangan lebih 100,000 pelancong asing, dengan pelancong dari Korea Selatan, China dan Jepun mencatatkan kehadiran tertinggi.
"Kita juga merancang untuk menambah pelbagai tarikan di kampung ini seperti sukan air tradisional, persembahan kebudayaan dan pencarian harta karun melalui sungai," katanya.
Sementara itu, beliau berkata jumlah pengendali bot pelancong di kampung itu juga akan ditambah bagi menampung 200 hingga 300 pelawat pada satu-satu masa.
"Antara tarikan utama di sini ialah aktiviti menyusuri sungai dan hutan paya bakau sambil menikmati keindahan alam semula jadi serta melihat pelbagai spesies burung dan hidupan liar, menangkap ketam menggunakan jala serta menyaksikan pelbagai spesies burung hijrah dari November hingga Mac," katanya.
Kampung Sungai Melayu turut dikenali dengan restoran asam pedas popular yang menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan antarabangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


