RAKYAT kini boleh berlapang dada dengan kelulusan Belanjawan 2021 dan pengumuman kerajaan membuat keputusan untuk membeli vaksin COVID-19 yang mampu menambung keperluan imunisasi hampir 70 peratus penduduk Malaysia.

Pengumuman tersebut menunjukkan keprihatinan dan usaha kerajaan untuk terus mengambil langkah-langkah yang progresif untuk menangani pandemik COVID-19 dalam kalangan rakyat.

Langkah itu dianggap yang terbaik, memandangkan sehingga kini lebih 80,000 kes jangkitan dengan 415 kematian direkodkan di Malaysia malah  masih menular mencecah 1,000 kes setiap hari, walaupun pelbagai langkah dilaksanakan untuk mengekang pandemik tersebut.

Melalui pembelian ini, hampir 70 peratus daripada rakyat akan mendapat suntikan vaksin secara percuma mulai tahun hadapan.

Pada asalnya kerajaan memutuskan untuk menempah bekalan vaksin yang boleh dinikmati untuk hanya 12.8 juta rakyat namun kerajaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengkaji semula tempahan bekalan vaksin supaya ianya mencukupi untuk sebahagian besar penduduk.

Dengan kelulusan Belanjawan 2021, kerajaan dapat menggunakan dana khas sebanyak RM3 bilion yang ditetapkan untuk pembelian vaksin di samping menanggung kos yang tinggi demi kepentingan rakyat.


Berdepan cabaran

Kerajaan juga berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesulitan dalam usaha pengedaran vaksin tersebut ke seluruh negara.

Kerajaan perlu menyediakan kelengkapan dan peralatan yang sesuai untuk tujuan penyimpanan dan penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman, khasnya di Sabah dan Sarawak.

Cara simpanan vaksin COVID-19 amat penting bagi menjamin kebolehgunaannya secara efektif kerana vaksin ini memerlukan kemudahan simpanan dengan suhu -70 darjah Celsius.

Di samping itu, dilaporkan juga bahawa kerajaan mengambil usaha-usaha untuk bekerjasama dengan China dalam mendapatkan bantuan protokol dan tatacara penyelidikan klinikal serta vaksin COVID-19.

Apapun, rakyat hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan mereka dan memastikan pandemik COVID-19 tidak terus menular ke paras yang lebih tinggi.

Rakyat perlu mengamalkan norma baharu sebagai budaya kehidupan harian dalam membendung pandemik yang boleh mendatangkan maut kepada orang yang dijangkiti.

Rakyat tidak harus menyerahkan dan mengharapkan kerajaan secara bersendirian mengambil langkah-langkah untuk membendung pandemik ini, malah setiap warga, tanpa mengira peringkat umur atau tempat tinggal harus memikul tanggungjawab untuk menjaga diri serta keluarga terutamanya ibu bapa berusia yang mudah dijangkiti COVID-19.

Rakyat, terutamanya aktivis politik yang banyak menggunakan media sosial, perlu mengelakkan daripada menyebarkan pelbagai spekulasi  terhadap politik semasa sebaliknya menumpukan perhatian kepada mengembelingkan tenaga dan buah fikiran menyokong kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19  supaya rakyat selamat, sihat dan sejahtera.



Membendung pandemik COVID-19 adalah keutamaan bagi masa sekarang malah lebih penting dari hal ehwal politik.

Rakyat, termasuk ahli-ahli politik hendaklah menjunjung titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah dalam usaha membendung COVID-19.

Rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan yang giat menyumbang dalam pelbagai aspek pandemik.

Perlu sentiasa tersemat di hati setiap rakyat persoalan; apakah sumbangan mereka dalam isu ini? Rakyat  perlu mengimbas kembali  kata-kata John F.Kennedy, Presiden Amerika pada suatu ketika dahulu;

'Ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country'.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.