KOTA BHARU: Merujuk maklumat atau berita sahih yang tersebar, kenal pasti masalah diri dan rujuk masalah melalui talian bantuan atau kenalan antara cara mengatasi tekanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 3.0.

Menurut Dr Hafidzah Mustakim, usaha sedemikian boleh menjadi antara cara mengatasi kemurungan, tekanan perasaan dan keganasan dalam rumah tangga.

Beliau berkata, PKP penuh boleh mengundang tekanan dalam keluarga apatah lagi jika ketua isi rumah hilang punca pendapatan.

“Pertama, dapatkan maklumat sahih. Dalam zaman maklumat di hujung jari, mereka boleh mendapat kebanjiran maklumat, jadi kadang kala maklumat tidak betul akan menjadikan kita lebih risau.

“Penting untuk menyaring maklumat, kenal pasti masalah, kalau kita mudah gelisah dan sebagainya atau tidak cukup kewangan, kita alukan bantuan kerajaan bagi B40 tetapi M40 juga menghadapi masalah kerana kehilangan mata pencarian,” kata doktor di Klinik Perdana Islah itu lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat disambut baik, namun, dalam masa sama golongan pertengahan yang kehilangan punca pendapatan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Katanya, berdasarkan laporan daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan (CPRC) 46 peratus panggilan yang diterima adalah berkaitan tekanan perasaan.

Laporan menyatakan, sejumlah kematian akibat bunuh diri kerana tekanan juga perlu diatasi dengan menambah saluran dan talian bantuan kaunseling kepada golongan terkesan bagi membolehkan bantuan nasihat diberikan segera.

Selain itu,  beliau turut menasihatkan, amalan gaya hidup sihat, bersenam, tidur yang mencukupi serta mengambil makanan secara seimbang juga perlu diamalkan sepanjang PKP.