Usaha yang dilakukan pemerintah Indonesia dalam menangani isu kebakaran hutan dan jerebu masih belum cukup untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan jerebu yang melanda negara secara berulang kali dan ada ketikanya mencapai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi kini menjadi situasi yang meresahkan dan tidak sihat.

“Kita tahu bahawa kepimpinan dan rakyat Indonesia prihatin terhadap apa yang berlaku tetapi kita merasakan bahawa sesuatu yang diusahakan itu belum cukup untuk menyelesaikan masalah kerana ia berlaku setiap tahun,” ujar beliau.

Kata Ahmad Zahid, Malaysia telah membelanjakan kos yang terlalu tinggi untuk tujuan perubatan terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah komplikasi pernafasan.

“Kita amat berterima kasih jika pihak Indonesia dapat berbincang dengan rakan-rakan dalam kalangan negara ASEAN untuk mengambil langkah jangka panjang bagi mengatasinya,” ujar beliau yang berharap komitmen itu bukan sekadar di atas kertas dan meja rundingan.

Beliau menambah, komitmen tiga tahun yang diumumkan Presiden Joko Widodo untuk melakukan beberapa penguatkuasaan dan transformasi dalam isu itu adalah terlalu lama walaupun langkah itu dialu-alukan Malaysia.

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-10 yang dipengerusikan beliau, telah memperlihatkan komitmen yang cukup ketara.

Tiga perkara yang digariskan dalam pertemuan itu adalah untuk menarik balik hak guna usaha mereka yang pekebun dan peladang yang terlibat mencetus bencana jerebu, mengambil tindakan perundangan ke atas pihak bertanggungjawab termasuk merampas terus tanah yang digunakan mereka, dan juga usaha jangka panjang supaya pembakaran terbuka ataupun kebakaran atas sebab semula jadi dapat ditangani.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini sudahpun bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia bagi membincangkan langkah yang patut bagi menyelesaikan masalah berkenaan.