Usaha untuk mengesan individu yang mempunyai kontak rapat ataupun bersentuhan dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu, yang diuji positif dijangkiti COVID-19 telah mula dilaksanakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pihak berkuasa kini sedang mengesan inidvidu yang mungkin ada bersentuhan dengan beliau di Sarikei.

Kui Hian mengesahkan bahawa wakil rakyat itu positif COVID-19.

Sehubungan itu, beliau berkata, Ling Biu akan diletakkan di wad pengasingan di Hospital Sibu kerana Hospital Sarikei tidak dijadikan antara empat hospital di negeri tersebut untuk tujuan pengasingan.

Ling Biu ditempatkan di wad pengasingan di Hospital Sibu akibat jangkitan virus tersebut sejak 13 Mac lalu.

Difahamkan Ahli Parlimen itu berkemungkinan terkena jangkitan tersebut semasa menghadiri mesyuarat politik di Kuala Lumpur pada 29 Februari hingga minggu lepas.

Kes Ling Biu merupakan satu-satunya kes positif di Hospital Sibu setakat ini.

"Bagi kes di Hospital Sibu, kita sedang mengesan semua orang di Sarikei. Kami juga melakukan perkara yang sama untuk dua kes positif di Hospital Miri kerana pesakit datang dari Limbang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Kem Belia Kemuyang, di sini.

Kem berkenaan telah dipilih menjadi tempat kuarantin bagi pesakit yang sedang disiasat (PUI) untuk kes Covid-19.
BACA: COVID-19: Ahli Parlimen Sarikei dimasukkan ke Hospital Sibu sebagai PUI


Kui Hian berkata, ketiga-tiga kes yang baru disahkan daripada 14 Mac lalu adalah dari kluster yang berbeza dan bukan dari Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur.

"Kes-kes ini datang dari kelompok yang berbeza di mana sumbernya masih belum diketahui. Kami masih belum mengenal pasti kelompok ini," katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata, 11 lagi kes COVID-19 telah di diagnosis di negeri itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 20.

Semua pesakit COVID-19 dirawat di empat hospital yang disediakan khas iaitu di Hospital Umum Sarawak di Kuching, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

Sementara itu, Douglas berkata, kerajaan negeri telah memperketatkan kemasukan ke negeri ini dengan arahan 'lockdown' telah dikenakan untuk menghalang kemasukan pendatang dari Korea, Itali, Iran dan China sejak lebih dua minggu lalu.

"Mereka yang memasuki negeri ini juga harus mengisi borang kemasukan di lapangan terbang, dengan cara ini, kita dapat mengesan mereka yang mungkin mempunyai jangkitan virus itu," kata beliau.