Skip to main content

Malaysia

Usaha kesan nelayan hilang terjatuh laut diteruskan

Operasi SAR
Maritim Pulau Pinang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui. - Foto Sinar Harian
Advertisement

GEORGE TOWN: Usaha mengesan seorang lelaki tempatan yang merupakan awak-awak sebuah bot nelayan dipercayai terjatuh ke dalam laut berhampiran Pulau Kendi, Batu Maung dekat sini diteruskan dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira 8.53 pagi semalam, membabitkan mangsa Tang Chin Khoon, 51, dengan usaha mencari serta mengesan mangsa terus dijalankan. 

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar ke laut bersama tekong dan dua lagi rakan untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan kira-kira 6 petang, Rabu.

“Ketika dalam perjalanan pulang sekitar 10 malam, pengemudi bot menyedari mangsa sudah tiada di atas bot dan dipercayai telah terjatuh ke laut di kedudukan berhampiran Pulau Kendi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejurus kejadian disedari, tekong bersama beberapa bot nelayan lain telah menjalankan pencarian di sekitar lokasi kejadian, namun mangsa masih belum ditemukan.

Anuwal berkata Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi berkaitan telah digerakkan bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak semalam.

Selain itu, beliau berkata hebahan turut dibuat kepada komuniti nelayan dan bot-bot yang berada di kawasan perairan tersebut bagi membantu usaha mengesan lelaki terbabit.

Katanya, setakat siasatan awal tiada unsur jenayah dikesan dan kes dikendalikan sebagai kes orang hilang di laut sementara operasi SAR diteruskan.

 

Image
KESAN NELAYAN HILANG

"Mangsa dilaporkan beralamat di Jalan Batu Maung dengan ketinggian 167 sentimeter, berbadan sederhana dengan berat 85 kilogram, berkulit kuning langsat dan berambut hitam pendek," katanya.

Semalam, APMM Pulau Pinang memaklumkan sehingga awal pagi semalam operasi CARILAMAT telah diperhebat dengan penglibatan dua aset kapal dan bot Maritim Malaysia, serta turut mendapat kerjasama daripada PPM Batu Uban.

Pengarahnya Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dilaporkan berkata sektor pencarian di lapangan turut diperluas sehingga hampir 19 batu nautika persegi dengan tumpuan diberikan di kedudukan terakhir mangsa dilaporkan berada.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement