MELAKA: Usaha memelihara dan memulihara bangunan warisan khususnya dalam kawasan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dilaksanakan secara berterusan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata ia merupakan antara komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan kerja-kerja baik pulih bangunan akan dijalankan mengikut prosedur agar tidak menjejaskan Tapak Warisan Dunia UNESCO berkenaan.

"Usaha pemuliharaan bangunan atau monumen warisan amat penting bagi memastikan status Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO yang telah diperoleh sejak 14 tahun lepas dapat terus dikekalkan pada masa hadapan.

"Usaha tersebut selari dengan Rancangan Tempatan MBMB 2035 yang melibatkan pengurusan dan kemudahan infrastruktur berkualiti," katanya kepada pemberita selepas Melaka Heritage Parade sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-14 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di Banda Hilir di sini lewat malam tadi.

Sambutan berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Zaidi Johari.

Mengulas lanjut, Zainal berkata salah satu usaha pemeliharaan dan pemuliharaan yang sedang dilakukan ialah mengecat semula bangunan Menara Jam di Dataran Stadthuys melibatkan peruntukan kira-kira RM100,000.

Beliau berkata kerja-kerja mengecat menara berkenaan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan dan terdapat beberapa aspek teknikal yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan usaha pemugaran ikon pelancongan Melaka berusia lebih 100 tahun itu.

"Selain itu, kita juga sedang melakukan kerja-kerja pemuliharaan di bangunan Perbadanan Muzium Melaka yang kebanyakannya mencecah usia ratusan tahun," katanya.

Terdahulu beliau berkata lebih 400 artis kebudayaan terlibat menjayakan persembahan tarian dan nyanyian melibatkan pelbagai etnik di Melaka antaranya Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Chitti dan Portugis.

-- BERNAMA