KUALA LUMPUR: Stigma kesihatan mental mencerminkan sikap negatif, stereotaip dan prasangka yang sering dikaitkan oleh masyarakat terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

Pakar Perubatan Psikiatri Hospital Putrajaya, Dr Azizul Awaluddin berkata, hal ini dapat mengakibatkan diskriminasi, prasangka dan peminggiran terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.

Ujarnya lagi, hal ini tidak hanya membuat mereka sukar mendapatkan bantuan dan sokongan, tetapi juga menghadkan penyertaan mereka sepenuhnya dalam masyarakat.

Hentikan Stigma Kesihatan Mental

"Stigma bukan sekadar isu sosial, tetapi ia juga menjadi penghalang kepada rawatan kesihatan mental dan boleh mendatangkan kesan berbahaya bagi mereka yang terjejas oleh keadaan kesihatan mental sehingga boleh cenderung kepada tingkah laku berisiko.

"Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati 2.3 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengalami masalah kemurungan.

"Manakala seorang daripada lapan remaja pernah terfikir untuk membunuh diri dan 1 daripada 10 remaja pernah cuba membunuh diri.

"Keadaan ini sangat membimbangkan dan perlu usaha yang proaktif daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rakan-rakan strategik untuk tangani isu ini," katanya mengulas lanjut.

Justeru, KKM melakukan pelbagai usaha dalam membendung stigma terhadap kesihatan mental menerusi tema sambutan di peringkat kebangsaan, Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 iaitu 'Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma'.

Tema ini berpandukan kepada tema yang telah diberi pada tahun ini oleh World Federation of Mental Health (WFMD) iaitu 'Mental Health is a Universal Human Right'.

Menurut Dr Azizul, tema ini menekankan keperluan penjagaan kesihatan mental sebagai hak asasi sejagat.

"Untuk mencapai matlamat menghentikan stigma kesihatan mental, KKM di bawah National Centre of Excellence for Mental Health (NCEMH) telah merangka Pelan Tindakan.

"Pelan ini merangkumi pelbagai inisiatif seperti mengaktifkan kumpulan teknikal kerja kesihatan mental, melibatkan Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental (MPPKM) dari pelbagai sektor, serta memfokuskan pada komponen psikopendidikan melalui pameran advokasi dan latihan kesedaran.

"Masyarakat pula perlu mengadaptasi tema sambutan ini seiring budaya serta hala tuju program kesihatan mental di Malaysia ke arah menghentikan stigma terhadap kesihatan dan penyakit mental.

"Peranan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sokongan emosi dari ahli keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat adalah kritikal," ujar beliau ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.

Beliau berharap melalui kempen ini, literasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat ditingkatkan, dan stigma terhadapnya dapat dihentikan.

"Ia bukan sahaja dapat mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih bermakna, malah membolehkan kebahagiaan, hubungan harmoni dan produktiviti di tempat kerja.

"Untuk rawatan atau intervensi awal, pesakit disaran untuk mendapatkan temu janji di klinik kesihatan primer terdekat atau menghubungi TALIAN HEAL 15555 untuk khidmat kaunseling secara atas talian.

"Aplikasi MySejahtera turut menyediakan komponen minda sihat, MyMinda yang dapat membantu individu dalam melakukan saringan awal kesihatan mental," tambah beliau.

Kesihatan mental merupakan aspek kesejahteraan yang tidak dapat dipisahkan seiring kesihatan fizikal dan merupakan elemen utama dalam definisi kesihatan secara keseluruhan.