"Belajar dari dalam buaian hingga ke liang lahad."

Itulah kata-kata azimat yang dipegang seorang pesara berusia 60 tahun, Chong Sing Woh yang merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.

Bagi Sing Woh yang merupakan bekas pekerja Pos Malaysia, ini merupakan kali keenam dia menduduki peperiksaan itu selepas lima kali percubaannya sebelum ini, gagal.

Sing Wong akan menduduki enam mata pelajaran teras bagi peperiksaan tahun ini, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Moral.

Bapa kepada seorang anak ini ingin membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk berjaya dan melepasi halangan dalam kehidupan.

Setiap hari, dia meluangkan masa dua jam bagi mengulang kaji untuk memastikan cubaannya kali ini berjaya dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang sains sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

"Belajar itu adalah untuk pertama, untuk mendapatkan ilmu, yang kedua untuk memperbaiki diri. Selebihnya, kita dapat berbakti kepada nusa bangsa dan agama.

"Seperti kata orang tua belajarlah dari buaian hingga liang lahad lah," katanya ketika ditemui selepas menduduki kertas Bahasa Melayu 1 Di SMK Seri Ampang, Ipoh pada Isnin.

Sing Woh merupakan antara 39,102 calon yang menduduki peperiksaan SPM di Perak.