Universiti Sains Malaysia (USM) akan menimbangkan untuk menganugerahkan Ijazah Anumerta kepada Allahyarham Muhamad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Acheh, Indonesia Rabu lalu.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman berkata perkara itu akan dibincangkan oleh pihak senat terlebih dahulu sebelum keputusan berhubung penganugerahan itu dibuat.

Omar berkata, penganugerahan tersebut selalunya diberikan kepada mereka yang telah mengikuti lebih 70 peratus pengajian dan meninggal dunia.

Mengulas lanjut, katanya, Izzamir adalah seorang penuntut yang aktif dan banyak terbabit dengan aktiviti yang dianjurkan di kampus serta seorang pelajar yang disenangi oleh rakan-rakan dan juga pensyarah.

"Ini senat akan pertimbangkan nanti. Sebagai satu penghormatan kita akan pertimbangkan nanti Insyaallah kemungkinan untuk memberi satu pengiktirafan melalui Anugerah Anumerta."

Omar berkata demikian selepas menziarahi jenazah Izzamir di rumah ibu saudaranya di Taman Abdullah Fahim, Kepala Batas, hari ini.

Menurutnya lagi, 23 pelajar dan pensyarah yang terbabit dalam kemalangan sama tiba dari Acheh di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada pukul 3 petang tadi dengan menggunakan penerbangan Firefly.

Kesemua mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pasukan perubatan USM sebaik tiba.

Rabu lalu, Allahyarham Muhammad Izzamir yang merupakan pelajar tahun Akhir Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM meninggal dunia selepas bas yang dinaikinya bersama sekumpulan penuntut dan pensyarah terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang di Acheh, Indonesia.

Dalam kejadian itu, tujuh yang lain turut tercedera.

Kejadian berlaku ketika, rombongan yang membawa 24 orang terdiri daripada 18 pelajar dan enam kakitangan pensyarah itu dalam perjalanan pulang selepas melawat kawasan perlombongan arang batu di Geumpang, Acheh sebelum bas yang mereka naiki terbabas ke kawasan curam.

Jenazah Muhammad Izzamir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Badawi, Kepala Batas selepas solat Jumaat petang tadi.