Skip to main content
Advertisement

Malaysia

USM sokong cadangan mansuh AUKU

USM Sokong
Abdul Rahman berkata pembaharuan itu bertepatan dengan agenda pembentukan One Higher Education Act seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara, termasuk cadangan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dengan undang-undang baharu yang lebih menyeluruh.

Naib Canselor USM, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed berkata, pembaharuan itu bertepatan dengan agenda pembentukan One Higher Education Act seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan wajar dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk membentuk sistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik, progresif dan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, AUKU yang diperkenalkan sejak 1971 telah melalui lapan pindaan di Parlimen, mencerminkan usaha kerajaan menyesuaikan undang-undang itu dengan perubahan dalam landskap pendidikan tinggi negara.

“Walaupun beberapa pindaan telah dibuat, masih terdapat pandangan bahawa AUKU mempunyai ciri-ciri yang bersifat mengawal, khususnya dalam perkara berkaitan mahasiswa.

“Justeru, sudah tiba masanya keseluruhan kerangka perundangan itu dinilai semula bagi memastikan ia benar-benar seiring dengan aspirasi generasi mahasiswa masa kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah usaha memperluas autonomi mahasiswa, khususnya berkaitan kepimpinan, kebebasan bersuara, penyertaan dalam kegiatan kemasyarakatan serta persediaan mereka untuk memainkan peranan sebagai pemimpin pada masa depan.

Katanya, perbahasan mengenai masa depan AUKU tidak seharusnya tertumpu kepada soal mengekalkan atau memansuhkan akta itu semata-mata, sebaliknya kepada prinsip dan matlamat yang perlu diterapkan dalam undang-undang baharu.

“Yang lebih utama ialah memastikan kerangka yang bakal diwujudkan mampu menyediakan persekitaran pendidikan tinggi yang memberi kepercayaan dan ruang secukupnya kepada mahasiswa, tanpa mengabaikan tanggungjawab institusi.

“Dalam masa sama, kepentingan autonomi universiti dan kebebasan akademik perlu bergerak seiring dengan prinsip tadbir urus yang baik serta akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata USM percaya proses penggubalan undang-undang baharu perlu dilaksanakan secara terbuka dengan mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Katanya, mahasiswa, kepimpinan universiti, ahli akademik, ahli legislatif, pakar undang-undang serta pemegang taruh lain perlu diberi ruang untuk menyumbang pandangan dan cadangan.

“Pendekatan secara inklusif akan membantu memastikan kerangka yang dibentuk bukan sahaja memenuhi keperluan kerajaan dan institusi, malah mendapat penerimaan serta keyakinan mahasiswa sebagai kelompok yang paling terkesan dengan perubahan ini,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pembaharuan perundangan itu juga perlu mengambil kira keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab supaya institusi pendidikan tinggi terus mempunyai asas kukuh untuk melaksanakan fungsi akademik, penyelidikan serta pembangunan mahasiswa.

USM turut menyambut baik penegasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bahawa usaha berkenaan bukan sekadar untuk memansuhkan AUKU, tetapi membangunkan kerangka pendidikan tinggi yang lebih komprehensif.

Menurutnya, kerangka baharu itu diharap dapat memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, selain memastikan aspek integriti, akauntabiliti serta tadbir urus universiti terus dipelihara.

“USM berharap proses ini menghasilkan satu sistem perundangan pendidikan tinggi yang lebih seimbang, dengan kebebasan dan autonomi berkembang seiring dengan tanggungjawab, integriti serta kecemerlangan institusi.

“Matlamat akhirnya adalah untuk membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih diyakini semua pihak dan mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran matang, berani menyuarakan pandangan serta bersedia menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement