IPOH: Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, dilaporkan telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini.
Perkembangan positif itu dikongsikan oleh abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias yang memaklumkan, Ustaz Kazim kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di kediamannya bersama keluarga terdekat.
Advertisement
“Adik saya telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat di rumahnya. Perkembangan positif ini amat menggembirakan kami sekeluarga serta para peminatnya.
"Kami berharap agar keadaan kesihatan beliau terus beransur pulih," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menziarahi Ustaz Kazim buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada beliau untuk berehat dan pulih sepenuhnya.
“Buat masa sekarang hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat. Kami berharap orang ramai dapat memahami keadaan ini,” ujarnya.
Tambahnya, pihak hospital turut memaklumkan bahawa rawatan susulan akan terus dilakukan berikutan terdapat implikasi berkaitan jantung yang memerlukan pemantauan lanjut.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para doktor dan kakitangan hospital serta seluruh rakyat Malaysia yang mendoakannya selama ini,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Mohammad Kazim, 54, dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah saluran jantung sempit yang memerlukan prosedur memasukkan belon bagi melancarkan aliran darah. - Sinar Harian