KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah dengan kejayaan melahirkan kumpulan pertama siswazah daripada program francaisnya di luar negara, terdiri daripada 74 graduan dalam majlis konvokesyen di Universiti Antarabangsa Qaiwan (QIU) di Kurdistan, Iraq.

Menurut UTM dalam kenyataan, kumpulan pertama itu dilahirkan hasil kerjasama QIU dan UTM menerusi UTMSPACE di bawah Program Pendidikan Transnasional (TNE) yang bermula lima tahun lepas.

Seramai 49 lepasan daripada kumpulan itu adalah daripada program Sarjana Muda Sains dalam Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian); 10 daripada Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia; lapan daripada Sarjana Muda Sains dalam Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer) dan tujuh daripada Sarjana Muda Pengurusan Teknologi.

Majlis penyampaian ijazah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail manakala QIU diwakili oleh presidennya Dr Ismail Abdul Rahman.

Konvokesyen itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Wilayah Kurdistan Qubad Talabani; Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifiknya Dr Aram Mohammad Qadir serta Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengarah QIU Shikh Fakhir Shiekh Tayeb.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor UTM (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim; Pendaftar UTM Nor Azizah Ismail dan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE Prof Dr Nazri Ali, serta dekan-dekan daripada fakulti berkaitan.

Ahmad Fauzi berkata UTM sangat berbangga dengan kolaborasinya bersama QIU, selain menyifatkan acara itu sebagai suatu pencapaian signifikan bagi universiti itu dan negara, memandangkan ia merupakan program francais sulung yang pertama ditawarkan UTM di Timur Tengah.

Beliau juga memaklumkan bahawa lebih 71 peratus daripada lepasan QIU itu telah memperoleh pekerjaan manakala sebahagiannya meneruskan pengajian di UTM.

Dalam ucapannya, Ahmad Fauzi turut mengumumkan penajaan biasiswa kepada tiga siswazah QIU untuk melanjutkan pengajian sarjana di UTM bernilai kira-kira USD18,000 (RM84,800).

Penajaan biasiswa itu adalah sebagai galakan kepada lepasan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta sebagai bukti komitmen UTM terhadap kerjasama itu.

Beliau percaya dengan kewujudan kampus itu, lebih banyak program UTM boleh ditawarkan kepada rakyat Iraq, terutamanya dalam melahirkan tenaga kerja profesional menerusi QIU bagi memenuhi keperluan serantaunya.

Katanya kerjasama itu akan diteruskan dengan pelbagai kolaborasi baharu yang akan diterokai termasuk pembangunan profesional, penyelidikan, perundingan dan inisiatif signifikan lain yang menguntungkan kedua-dua pihak.

"Impak daripada inisiatif UTM menubuhkan program francais antarabangsa turut selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Pengajian Tinggi, khususnya dalam aspek pengantarabangsaan, selaras visi Perdana Menteri," kata Ahmad Fauzi.

Upacara konvokesyen QIU-UTM yang julung kali berlangsung itu juga menyaksikan tiga siswazah cemerlang menerima Anugerah Dekan.

Mereka adalah Reza Kamil Abdul Karim, yang menamatkan pengajian dengan kepujian dalam Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia; Sima Jazaa Mohammed [Sarjana Muda Sains dalam Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian)] dan Diana Hiwa Raouf Rahem (Sarjana Muda Pengurusan Teknologi).

Sebagai rekod, penubuhan QIU pada 2017 adalah usaha sama dua alumni UTM, Dr Harith R. Hasan dan Dr Ahmed Abdullah, dengan Ahmed kini berkhidmat sebagai Naib Presiden (Akademik) QIU.

Berdasarkan pengalaman mereka di UTM dan kualiti pendidikan yang diterima, kedua-dua alumni itu dan Kumpulan Qaiwan menubuhkan QIU untuk menawarkan program akademik UTM dalam format francais di Sulaimaniyah, Kurdistan.

Pada Ogos 2018, kampus QIU di Sulaimaniyah, Kurdistan, Iraq, dirasmikan oleh Talabani.

-- BERNAMA