Krisis syarikat penerbitan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad yang menanggung beban hutang sehingga menyebabkan kakitangan bekerja tanpa gaji hampir tiga bulan bukan lagi sesuatu yang memeranjatkan.

Lebih menyedihkan lagi apabila syarikat akhbar keramat yang sinonim dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat Melayu itu difahamkan akan memberhentikan operasi mencetak akhbar bermula Rabu.

Menurut sumber rapat, Utusan beroperasi dalam keadaan rugi sejak dua tahun lalu dan kesannya berlarutan sehingga hari ini dengan kegagalan membayar gaji pekerja termasuk melunaskan bayaran pampasan bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisah Sukarela (VSS) pada November tahun lalu.

Difahamkan, operasi harian syarikat hanya akan berjalan menerusi platform digital sehingga diberitahu kelak.

BACA: Kakitangan Utusan Melayu adakan piket tuntut gaji tertunggak tiga bulan


Lebih 100 kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan piket di luar bangunan syarikat akhbar itu bagi menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan lalu pada Isnin.

Piket yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 1 tengah hari itu diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Perbincangan lebih kepada untuk menutup operasi dan bukan tertumpu kepada usaha baik pulih. Pihak pengurusan mungkin akan menawarkan pampasan dan mekanisme pampasan yang akan diberi," kata sumber berkenaan.

Sumber itu turut mendedahkan punca utama adalah ketidakmampuan syarikat untuk membayar gaji semua kakitangan (di bawah Kumpulan Utusan) dan kutipan hutang digunakan untuk melunaskan hutang tertunggak syarikat." tambahnya.

Isu kelewatan bayaran gaji menyebabkan kakitangan syarikat berdepan kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan harian.

Selain itu, bekas kakitangan yang mengambil VSS turut menerima nasib sama apabila bayaran terakhir yang diterima adalah pada Jun lepas.