KUALA LUMPUR: Vaksin, untuk apa jenis penyakit pun dan dalam kes ini wabak COVID-19 tidaklah dapat membuatkan seseorang itu tidak akan menerima jangkitan langsung.

Sebaliknya, fungsi vaksin bertindak melindungi diri daripada menerima kesan yang lebih buruk dan serius daripada jangkitan tersebut serta mengurangkan risiko kematian.

Pakar Perunding Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof. Madya Dr Intan Hakimah Ismail menjelaskan, vaksin berkesan sebagai satu ikhtiar perlindungan terutamanya untuk kumpulan rentan iaitu warga emas dan mereka yang berpenyakit komorbid.

“Tidak boleh kata kalau sudah ambil vaksin pun dijangkiti, tidak ambil vaksin pun dijangkiti. Itu memang bukan tujuan vaksin yang sebenarnya.

“Kita lihat mereka yang sudah mengambil vaksin dan mendapat dos penggalak, walaupun mereka dijangkiti tetapi tahap keseriusannya sangat kurang berbanding mereka yang belum cukup ‘primary dose’ tersebut,” kata Dr Intan dalam wawancara dengan Agenda AWANI.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya mereka yang belum mendapatkan dos penggalak dan terutamanya mereka yang masih belum mendapat dos utama vaksin untuk segera mendapatkannya.

Dr Intan khuatir, walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, ada kemungkinan untuk berlaku gelombang jangkitan baharu seperti yang terjadi di beberapa negara lain di dunia ketika ini.

“Semenjak pengisytiharan kerajaan (fasa peralihan ke endemik) itu, kita nampak secara tidak langsungnya ada kalangan kita yang sudah rasa sedikit relaks, sudah rasa tidak perlu memakai pelitup muka atau amalkan SOP (prosedur operas standard) lagi.

“Jadi, secara tidak langsung sikap begini mungkin akan mengundang peningkatan kes jangkitan dan kita bimbang jika ada gelombang baharu, golongan berisiko tinggi akan lebih terdedah,” tegas Dr Intan lagi.

Vaksin bukan pencegah, tapi lebih sebagai pengurang risiko kesan tinggi jangkitan - Pakar