Skip to main content

Politik

PRN Johor: PH kumpul kekuatan, bersiap sedia untuk menang

Pakatan Harapan
Pakatan Harapan akan meneruskan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri atas semangat demokrasi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Johor bersedia menggembeling usaha sebaik mungkin untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

PH Johor turut memaklumkan akan mengadakan perbincangan ke peringkat Majlis Presiden di peringkat Pusat untuk merangka langkah seterusnya.

“Bagi kami, tidak ada pilihan raya yang mudah. PH sedia menggembeling usaha sebaik mungkin untuk memenangi PRN kali ini,” katanya menerusi kenyataan bersama yang disiarkan hari ini.

Pada masa sama PH Johor turut mengambil maklum pengumuman oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini.

Menurut PH Johor, pengumuman tersebut telah dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat sambil menyifatkan sidang DUN pada 22 Jun adalah ‘tidak masuk akal’ sama sekali.

“Atas semangat demokrasi, PH akan meneruskan persiapan sedia ada bagi menghadapi pilihan raya ini,” katanya lagi.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh Pengerusi Amanah Johor merangkap Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; serta Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Aminolhuda turut yakin dengan Bangsa Johor yang akan memilih kerajaan negeri kelak.

Beliau turut menjangkakan pilihan tersebut selari dengan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Amanah Johor percaya Bangsa Johor akan membuat keputusan yang terbaik dalam memilih kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan,” kata Aminolhuda.
 

Must Watch Video

Advertisement