KUALA LUMPUR: Seramai 24,604,953 individu atau 75.3 peratus daripada populasi keseluruhan telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19, setakat Isnin.

Berdasarkan data portal COVIDNOW, 78.2 peratus atau 25,538,619 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Manakala seramai 22,214,024 individu atau 94.9 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara 97.5 peratus atau 22,819,122 daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi remaja pula, seramai 2,390,929 individu atau 76 peratus telah melengkapkan dua dos dan 2,719,497 individu atau 86.4 peratus mendapat satu dos.

Sementara itu, data kemajuan program imunisasi mengikut negeri bagi populasi keseluruhan menunjukkan hanya Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah masih merekodkan kadar vaksinasi di bawah 70 peratus.

Terdapat pertambahan 108,821 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi dewasa dan remaja.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 50,527,937 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.